Pelantikan lima menteri termasuk seorang menteri kanan serta
lima timbalan menteri dari Kelantan adalah satu penghormatan kepada negeri dan
rakyat negeri ini, kata Menteri Besar Ahmad Yakob.
Beliau turut melahirkan keyakinan kesemua mereka dapat
menjalankan tugas masing-masing dengan baik selepas diberikan kepercayaan oleh
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Loading...
"Secara peribadi, saya sendiri berasa amat gembira
dengan pelantikan kali ini, malah ia satu sejarah bagi Kelantan," katanya.
Ia membabitkan Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin sebagai
Menteri Pendidikan, Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed sebagai Menteri di
Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan
sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Ahli
Parlimen Kubang Kerian Tuan Ibrahim Tuan Man (Menteri Alam Sekitar) dan Ahli
Parlimen Ketereh Annuar Musa (Menteri Wilayah Persekutuan).
Loading...
Ahli Parlimen Tanah Merah Ikhmal Hisham Abdul Aziz sebagai
Timbalan Menteri Pertahanan, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary
(Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahli Parlimen
Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff (Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga),
Ahli Parlimen Tumpat, Che Abdullah Mat Nawi (Timbalan Menteri Pertanian dan
Industri Makanan) dan Senator Dr Ahmad Masrizal Muhammad (Timbalan Menteri Alam
Sekitar).
Ahmad, yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS berkata Kabinet
kali ini juga dibarisi pakar dalam bidang seperti agama, koperasi dan kewangan.
“Kabinet seperti ini adalah menepati cita rasa rakyat
sekarang. Apa yang penting mereka yang dilantik adalah bersih dan tiada salah
laku," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad berkata beliau berpuas hati dengan
pelantikan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Katanya, Zulkifli adalah seorang yang berpengetahuan luas
selain golongan bukan Islam tidak perlu bimbang kerana beliau adalah seorang
yang adil.
-Bernama


