KUALA LUMPUR - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan terdapat permintaan untuk parti
itu melebarkan sayap ke Sabah susulan tindakan 14 wakil rakyat dan pemimpin
kanan UMNO negeri itu yang bertindak keluar parti.
Loading...
Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, ia
bagaimanapun bergantung kepada beberapa perkara yang memerlukan pertimbangan
dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan komponen Pakatan Harapan (PH) di
negeri bawah bayu itu.
"Yang penting kita tidak mahu timbul pertembungan
daripada segi kepentingan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan
sumbangan Yayasan Golf Amal Tan Sri Muhyiddin Yassin Kuala Lumpur (TSMCG)
kepada 10 badan amal, di sini hari ini.
UMNO Sabah dilaporkan lumpuh apabila Pengerusinya, Datuk
Seri Hajiji Mohd Noor bersama sekumpulan wakil rakyat dan ketua bahagian
meninggalkan parti itu untuk menjadi anggota politik bebas.
Tindakan keluar parti yang berkuat kuasa hari ini melibatkan
lima anggota Parlimen, sembilan ADUN dan dua senator, menurut Hajiji yang juga
Ketua UMNO Tuaran.
Mengulas lanjut, Muhyiddin menyifatkan perkembangan baharu
itu sesuatu yang baik untuk PH, khususnya apabila kesemua yang keluar parti itu
menyatakan sokongan kepada parti gabungan itu. - Bernama


