PUTRAJAYA: Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul
Samad bakal menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok
berhubung kes pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC).
Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Mohd
Isa akan didakwa berkaitan kes pembelian hotel oleh FIC di Kuching, Sarawak.
Loading...
Mohd Isa pada Khamis berada di ibu pejabat Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini , dan menurut peguamnya Datuk K.
Kumarendran, kehadirannya adalah bagi menandatangani surat akujanji bahawa
beliau akan hadir di mahkamah pada Jumaat.
Mohd Isa tiba di ibu pejabat SPRM kira-kira 10.45 pagi
dengan ditemani isterinya Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid, sebelum meninggalkan
bangunan SPRM itu kira-kira 20 minit kemudian.
Pada 30 Ogos lepas, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi)
SPRM, Datuk Seri Azam Baki dilaporkan sebagai berkata pihak pendakwa raya dalam
pertimbangan untuk membuat pertuduhan terhadap Mohd Isa membabitkan kes
pembelian hotel oleh FIC.
Pada 21 Jun 2017, Mohd Isa dan isterinya tampil memberi
keterangan kepada SPRM di Putrajaya, sebelum SPRM membuka kertas siasatan
baharu berhubung pembelian hotel di Kensington, London dan Kuching antara tahun
2013 dan 2015.
FIC dipercayai membeli hotel di Kensington pada harga jauh
lebih tinggi berbanding harga asal sehingga mengakibatkan anak syarikat Felda
itu mengalami kerugian jutaan ringgit.
Sebelum ini, media melaporkan sebuah syarikat Malaysia yang
mengendalikan urusan jual beli hotel berkenaan memperoleh keuntungan sebanyak
RM78 juta berdasarkan kadar tukaran semasa mata wang asing dalam tempoh 24 jam
menerusi transaksi berkenaan.
SPRM turut menjalankan siasatan berhubung kes pembelian
hotel di Kuching oleh FIC, yang juga dipercayai membabitkan harga lebih tinggi
daripada harga pasaran. - BERNAMA


