KUALA LUMPUR, 4 Dis — Bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed
Hanif Omar berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu mengekalkan Akta
Hasutan 1948 kerana ia memainkan peranan utama dalam memelihara keharmonian dan
ketenteraman awam.
Beliau menegaskan bahawa undang-undang itu masih relevan
dengan suasana masyarakat negara yang terdiri daripada berbilang kaum, bangsa
dan agama.
Beliau meminta masyarakat, terutama para pemimpin, untuk
belajar daripada sejarah di sebalik sebab-sebab undang-undang itu digubal
termasuk untuk melindungi kedudukan Raja-Raja Melayu.
“Anda boleh mempersoalkan pelaksanaan akta tersebut tetapi
tidak boleh mempertikaikan undang-undang itu sendiri. Anda perlu membaca dan
memahami Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Mohammed Hanif, yang memegang jawatan Ketua Polis Negara
selama 20 tahun dari 1974 hingga 1994, berkata demikian pada sidang media bagi
mengumumkan pelancaran Siri Syarahan ‘Kepimpinan Dr Mahathir Mohamad’ anjuran
Institut Pengurusan Malaysia (MIM),di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada ia
adalah idea yang baik untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 susulan insiden
rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, minggu lalu.
Semalam, kerajaan mengumumkan moratorium beberapa
undang-undang yang sedang dalam kajian untuk dimansuhkan sebelum ini ditarik
balik berikutan insiden di kuil berkenaan.
Antaranya adalah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah
Khas) (SOSMA) 2012 (Akta 747), Akta Pencegahan Keganasan (POTA), Akta
Pencegahan jenayah 1959 (POCA) dan Akta Hasutan 1948.
Mohammed Hanif, yang juga pengerusi MIM, juga menegaskan
semua pihak perlu menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan pendapat dan
masalah dan tidak meletakkan undang-undang di tangan sendiri kerana ini boleh
mengganggu gugat ketenteraman awam.
“Isu kuil berkenaan adalah isu perundangan...jangan
membiarkan kumpulan pengacau membuat hal. Biarkan mahkamah melakukan tugas
mereka. Sebarang rasa tidak puas hati boleh merujuk kepada mahkamah dan buat
mengikut undang-undang,” katanya.
Setakat ini, polis telah menangkap 68 individu bagi membantu
siasatan berhubung rusuhan dan pergaduhan pada Isnin dan Selasa minggu lalu
berpunca daripada isu perpindahan tapak
kuil itu. — Bernama


