KOTA BHARU —
Kira-kira 70 anggota PKR yang mewakili 14 cabang di Kelantan merayu agar
Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan kembali pelantikan
Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri
(MPN) Kelantan.
Kumpulan tersebut yang diwakili Naib Ketua PKR cabang
Ketereh Mohd Sukirman Mustafa berkata pelantikan Mohamad Suparadi tidak
disenangi kebanyakan anggota PKR Kelantan terutama yang telah berjuang bersama
parti sejak sekian lama.
Loading...
“Sekarang berlaku sedikit pergolakan dalam PKR Kelantan
selepas pelantikan Mohamad Suparadi kerana beliau tidak disenangi akar umbi
berikutan mempunyai rekod kurang memuaskan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM).
“Justeru, kami meminta Anwar untuk mengkaji semula
pelantikan Mohamad Suparadi untuk kebaikan PKR di Kelantan kerana parti ini
sendiri, antara lain ditubuhkan bagi menolak sebarang perkara berkaitan rasuah
dan penyelewengan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Sukirman berkata pelantikan Mohamad
Suparadi juga didakwa dibuat secara tergesa-gesa dan pihaknya akan menghantar
memorandum kepada kepimpinan PKR pusat dalam masa terdekat.
“Saya rasa Anwar seorang pemimpin yang berjiwa besar dan
yakin beliau akan mendengar rintihan anggota PKR di peringkat akar umbi.
“Kita bukan nak mencipta masalah (dengan tidak bersetuju
dengan pelantikan Mohamad Suparadi) tetapi cuba untuk memulihkan kembali
keadaan,” katanya.
Kumpulan berkenaan bagaimanapun tidak menamakan sebarang
individu yang layak untuk memegang jawatan nombor satu berkenaan di peringkat
negeri kerana tidak mahu dilihat menyebelahi mana-mana pihak.
Semalam, Mohamad Suparadi menegaskan tidak akan tunduk
kepada desakan agar beliau melepaskan jawatan itu dan juga selaku Ketua Cabang
PKR Tanah Merah.
Malah, beliau turut dilaporkan mendakwa desakan itu mungkin
sengaja diwujudkan oleh ‘tangan ghaib’ yang kecewa dengan keputusan pada
pemilihan lalu. — Bernama


