Foto oleh Astro Awani
Bekas Pengerusi FGV Holdings Berhad Tan Sri Mohd Isa Abdul
Samad dan lapan individu lain diarahkan memfailkan penyataan pembelaan
masing-masing dalam saman dikemukakan syarikat itu yang menuntut ganti rugi
RM514 juta berhubung pemerolehan Asia Plantation Ltd. (APL) pada tahun 2014.
Peguam Lavinia Kumaraendran, yang mewakili Mohd Isa
memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar
Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Farah Shuhada Ramli hari ini.
Loading...
Lavinia berkata kesemua defendan itu termasuk anak guamnya
diarah memfailkan penyataan pembelaan sebelum atau pada 31 Jan ini.
"Pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 12 Feb di
hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azimah Omar," kata peguam itu.
Selain Mohd Isa, individu lain yang perlu memfailkan
pembelaan adalah bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Datuk
Mohd Emir Mavani Abdullah; bekas Pengurus Besar Kanan Kluster Hiliran, Rasydan
Alias Mohamed; bekas Ketua Pegawai Kewangan Ahmad Tifli Mohd Talha dan lima
bekas Pengarah Bukan Eksekutif FGV iaitu Tan Sri Ismee Ismail; Tan Sri Wan Aziz
Wan Abdullah; Tan Sri Sulaiman Mahbob; Datuk Nozirah Bahari dan Datuk Fazlur
Rahman Ebrahim.
Lavinia turut memberitahu bahawa sembilan defendan itu telah
menerima salinan tuntutan saman pada 19 Dis manakala lima lagi defendan lain
masih belum menerima tuntutan saman berkenaan.
Mereka ialah bekas Naib Presiden Pembangunan Perniagaan
Kluster Hiliran, Farisan Mokhtar dan tiga bekas Pengarah Bukan Eksekutif FGV
iaitu Datuk Omar Salim, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, Datuk
Yahaya Abd Jabar dan Datuk Faizoull Ahmad.
FGV Holdings Berhad selaku plaintif memfailkan saman pada
Nov lepas berikutan kerugian yang dialami syarikat itu akibat daripada kegagalan
kesemua defendan melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab masing-masing serta
kesetiaan atau kewajipan untuk melakukan penjagaan, kemahiran dan ketekunan
yang munasabah.
Menurut kenyataan syarikat itu kepada Bursa Malaysia, saman
tersebut adalah berkenaan dengan pengambilalihan 100 peratus kepentingan ekuiti
dalam APL melalui tawaran tunai bersyarat sukarela pada tahun 2014.
Oleh itu, FGV menuntut RM514 juta untuk kerugian yang timbul
daripada pengambilalihan, atau secara alternatif, ganti rugi atau kehilangan
dari pengambilalihan yang dinilai oleh mahkamah selain menuntut ganti rugi am,
faedah dan kos.
- Bernama


