BUTTERWORTH — Polis menafikan satu maklumat yang
ditularkan media sosial mengenai kejadian seorang bayi perempuan maut dipukul
bapanya di sebuah rumah Jalan Kampung Benggali kelmarin, sebaliknya mengesahkan
yang bayi itu meninggal dunia kerana dilahirkan pra matang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd
Noor berkata polis bergegas ke rumah berkenaan untuk membuat pemeriksaan
selepas menerima panggilan telefon daripada jiran pasangan suami isteri warga
asing itu pada pukul 9.45 malam semalam, memaklumkan kononnya seorang lelaki
memukul anaknya hingga mati.
Loading...
Beliau berkata siasatan awal di tempat kejadian oleh polis
bersama pasukan perubatan Hospital Seberang Jaya mendapati ada seorang bayi
yang dilahirkan tidak cukup bulan, dianggarkan 24 minggu, yang meninggal dunia.
"Ibu bayi itu merupakan wanita warga Indonesia berusia
30 tahun manakala suaminya warga Bangladesh, dan lelaki itu melarikan diri
sebelum kehadiran polis kerana tiada dokumen perjalanan yang sah," katanya
di sini semalam.
Katanya berdasarkan keterangan ibu bayi itu, dia melahirkan
bayi berkenaan pada pukul 4 pagi kelmarin sebelum anaknya meninggal dunia
kira-kira 11 jam kemudian.
Noorzainy berkata wanita itu mendakwa telah memberikan susu
formula menggunakan botol plastik sebanyak tiga kali kepada anaknya kerana bayi
itu tidak tahu menyusu badan dan semasa memberikan untuk kali ketiga, anaknya
muntah serta keluar lendir dan darah melalui hidungnya.
"Berdasarkan siasatan pasangan itu gagal melaporkan
kelahiran bayi mereka yang tidak cukup bulan dan telah mendedahkan bayi dalam
keadaan berbahaya tanpa peralatan sokongan, selepas dilahirkan pra matang.
"Ibu bayi tidak merujuk anaknya ke hospital atas alasan
tiada wang untuk rawatan anaknya dan pemeriksaan ke atas fizikal bayi yang
dijalankan di HSJ mendapati tiada kesan-kesan penderaan atau pukulan ke atas
bayi itu," katanya.
Beliau berkata laporan bedah siasat mendapati bayi berusia
lapan bulan ketika dilahirkan.
"Polis menahan ibu bayi itu yang tidak mempunyai
dokumen perjalanan diri untuk siasatan lanjut dan sedang berusaha mengesan
suami wanita berkenaan, di samping teman serumah mereka iaitu seorang wanita
Indonesia untuk membantu siasatan," katanya. — Bernama


