Gabungan reformasi pilihan raya, Bersih terkejut dengan
gesaan Naib Presiden Bersatu Abdul Rashid Abdul Rahman supaya parti itu
menggunakan kedudukannya sebagai kerajaan bagi menyalurkan sumber dan projek
kepada ketua bahagian.
Ini kata Rashid bagi memastikan Bersatu menang pilihan raya
“dengan apa cara sekali pun.”
Loading...
“Ia menimbulkan pertanyaan jika kerajaan Pakatan Harapan
pada umumnya, dan Bersatu secara khusus, komited terhadap reformasi pilihan
raya dan institusi.
"Adakah Rashid dan perwakilan yang bersorak begitu
cepat lupa mengapa rakyat Malaysia menolak kerajaan Umno-Barisan Nasional
sebelum ini, pada tujuh bulan yang lalu?" Soal Bersih dalam satu kenyataan
hari ini.
Semalam, naib presiden Bersatu itu menempelak pihak yang
membantah gesaan perwakilan agar kerajaan memberikan jawatan dan kontrak agar
parti itu dapat mengekalkan kuasa.
Kata-kata itu selepas Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed
Abdul Rahman mengecam beberapa perwakilan membuat gesaan itu.
Beliau menyifatkan bantahan itu sebagai “pandangan bodoh,”
ketika sesi penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu ke-2 hari ini, dan
disambut dengan tepukan gemuruh.
"Dalam PRU kita kena menang by hook or by crook -
dengan apa cara sekalipun - kita kena menang.
"Semua ketua bahagian mesti mendapat aktiviti (dan)
peluang (bagi membolehkan mereka) mampu dari segi kewangan dan pertahankan
kedudukan," kata Rashid yang juga bekas pengerusi SPR.
Bersih juga menggesa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad
yang juga pengerusi Bersatu untuk menangani masalah rasuah dengan mempercepat
pelaksanaan reformasi undang-undang.
Antara lain, Bersih menyarankan kerajaan untuk menggubal
Akta Neutraliti Pentadbiran yang mengawal selia masalah naungan kronisme dan
penyalahgunaan sumber kerajaan atau kuasa awam bagi tujuan kepentingan parti
pemerintah.
“Perdana menteri perlu menghentikan budaya dan mentaliti
menjadikan kerajaan sebagai habuan parti, ini akan menjadikan PH menjadi imej
kerajaan lama yang ditumbangkannya,” jelas Bersih lagi.
Bersih turut mendesak kerajaan segera menggubal Akta
Pembiayaan Politik, sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto PRU14 lalu. - Malaysiakini


