JERANTUT - Seorang gadis di sini dihujani panggilan telefon
serta mesej melalui aplikasi Whatsapp gara-gara alamat pelik yang tertera pada
bungkusan pesanannya.
Bungkusan yang tertera alamat Masuk Ke Dalam Sikit, Rumah
Saya Kat Belakang Warna Kuning, Jerantut, Pahang itu menjadi tular di media
sosial sejak semalam.
Loading...
Pemilik bungkusan itu, Nur Rabiatul Adawiyyah Zamri, 18,
berkata, dia terkejut apabila alamat berkenaan digunakan oleh peniaga di
platform e-dagang terkemuka Asia Tenggara dan Taiwan, Shopee untuk menghantar
bungkusan berisi vitamin yang dibeli melalui web tersebut.
"Sebenarnya itu bukan alamat yang saya tulis pada
borang maklumat peribadi ketika membeli barang melalui Shopee.
"Itu cuma keterangan yang ditulis kerana rumah saya
agak tersorok bagi memudahkan posmen mencarinya," katanya yang ditemui
Kosmo! Online di rumahnya, di Kampung Jerantut Feri di sini hari ini.
Menurutnya, alamat rumah yang betul telah ditulis, namun
tidak menyangka pihak peniaga di platform Shopee menggunakan keterangan
berkenaan untuk menghantar barang pesanannya.
"Saya sudah membeli barangan melalui Shopee sudah
hampir setahun. Ia kali pertama kejadian seperti ini berlaku," ujarnya.
Dia memberitahu, posmen telah menghubunginya supaya hadir
mengambil bungkusan berkenaan di Pejabat Pos Malaysia Jerantut memandangkan
alamat tersebut mengelirukan.
"Selepas ambil barang itu barulah saya tahu gambar
bungkusan yang terpapar alamat itu telah tular di Facebook dan Whatsapp selepas
dimaklumkan oleh rakan-rakan," jelasnya.
Tambahnya, dia agak terkilan dengan penularan gambar
bungkusan berserta alamatnya itu kerana individu pertama yang memuat naik
gambar bungkusan berkenaan turut mendedahkan nombor telefonnya.
"Saya tidak kisah kerana saya sendiri pun ketawa
melihat alamat itu tetapi saya terpaksa berdepan dengan panggilan telefon dan
mesej dari pagi sampai ke malam kerana netizen ingin mengetahui cerita sebenar.
"Ramai yang anggap saya ingin berjenaka dengan menulis
alamat sedemikian tapi sebenarnya ia cuma kesilapan teknikal dan saya akan
lebih berhati-hati selepas ini agar ia tidak berulang," katanya.
Gambar bungkusan yang tular di Facebook itu telah mendapat
ribuan reaksi daripada netizen kerana ramai beranggapan ia satu jenaka. - K!
ONLINE


