PUTRAJAYA — Jemaah Menteri berpandangan status Pulau
Kukup sebagai Taman Negara Johor perlu dikekalkan bagi memastikan kawasan itu
kekal sebagai pulau bakau tidak berpenghuni kedua terbesar di dunia dan
satu-satunya di perairan negeri Johor, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli
Dr Xavier Jayakumar.
Beliau berkata Pulau Kukup, terletak dalam daerah Pontian,
mempunyai keluasan 647 hektar dan dikelilingi 800 hektar tanah paya, mempunyai
ekosistem pulau bakau yang jarang ditemui dan diancam kepupusan, merupakan
khazanah biodiversiti yang tidak ternilai kepada negara dan kepada negeri Johor
khususnya.
Loading...
Ia telah dikenal pasti sebagai kawasan persinggahan burung
migrasi, tempat pembiakan dan perlindungan hidupan liar terancam seperti Burung
Botak, Bangau Cina dan Pacat Bakau serta sumber perikanan dan akuakultur
negara, katanya.
“Jemaah Menteri yang bermesyuarat semalam [kelmarin]
berpandangan status itu perlu dikekalkan.
“Rakyat juga secara umumnya menyokong supaya status tersebut
dikekalkan supaya ekosistem Pulau Kukup terus terpelihara sebagai kawasan
berkepentingan antarabangsa demi faedah generasi masa kini dan masa depan.
“Sebarang kegagalan dalam menguruskan kawasan ini secara
berhemah boleh menyebabkan kehilangan khazanah biodiversiti yang tidak ternilai
di samping menjejaskan usaha-usaha mengiktiraf Mersing sebagai Geopark
Kebangsaan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata demikian merujuk Dewan Undangan Negeri (DUN)
Johor pada Khamis lepas (6 Disember) yang meluluskan usul supaya Majlis
Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri mengkaji semula status Taman Negara (Johor)
Pulau Kukup.
Xavier berkata Pulau Kukup juga telah diisytiharkan sebagai
kawasan berkepentingan antarabangsa di bawah Konvensyen Ramsar.
Beliau berkata terdapat kira-kira 18 spesies bakau asli di
Hutan Paya Bakau Pulau Kukup. Jika dibandingkan dengan kawasan bakau lain di
Semenanjung Malaysia, kekayaan spesies bakau asli di Pulau Kukup adalah tinggi
dengan mengambil contoh Hutan Paya Laut Matang, Perak seluas 40,000 hektar
tetapi hanya terdapat 21 spesies bakau asli.
“Perbandingan ini menunjukkan
kepentingan nilai kepelbagaian biologi Pulau Kukup di rantau ini.
“Pertukaran status kawasan ini sudah tentu boleh memberi
kesan kepada pengiktirafannya sebagai kawasan berkepentingan antarabangsa yang
telah diterima serta menjejaskan reputasi negara dalam memulihara
biodiversiti,” katanya.
Satu salinan surat warta kerajaan negeri yang memberitahu
pembatalan perizaban Taman Negara Pulau Kukup telah tular dalam media sosial
Menurut warta bertarikh 24 September lepas itu, pembatalan
keseluruhan kawasan yang diisytihar sebagai kawasan Taman Negara Pulau Kukup
berdasarkan kuasa diberi mengikut Subseksyen 3(3) Enakmen Perbadanan Taman
Negara (Johor) 1989.
Khamis lepas, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan
Iskandar telah menyampaikan perkenan
baginda agar Pulau Kukup di Pontian, kekal sebagai Taman Negara Johor.
Hasrat baginda itu dinyatakan melalui sepucuk surat kepada
Pengarah Tanah dan Galian Johor bertarikh 5 Disember 2018, yang dimuat naik
melalui laman rasmi Facebook dan Twitter HRH Crown Prince of Johor Tunku Ismail
Sultan Ibrahim.
Semalam, Menteri Besar Datuk Osman Sapian berkata kerajaan
negeri akan menyatakan pendiriannya berhubung kedudukan Pulau Kukup, Pontian
sebagai Taman Negara pada sesi penggulungan DUN, hari ini. — Bernama


