Foto The Star
KUALA LUMPUR, 8 Dis —
Tun Dr Mahathir Mohamad mendoakan perhimpunan Konvensyen Antarabangsa Mengenai
Penghapusan Segala Bentuk Diskrimininasi Kaum (ICERD) di ibu negara hari ini
berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak berhasrat untuk
menghalang penganjur perhimpunan tersebut kerana ia bertentangan dengan dasar
kerajaan yang mendokong prinisp-prinsip demokrasi.
“Saya berdoa agar perhimpunan itu berjalan dengan lancar
tanpa sebarang gangguan. Marilah kita sama-sama meraikan demokrasi di
Malaysia,” katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik di laman Twitternya,
semalam.
Beliau berkata walaupun kerajaan Pakatan Harapan (PH)
menyatakan tidak akan meratifikasikan ICERD namun beliau dimaklumkan beberapa
pihak menyatakan ia akan diteruskan sebagai tanda kesyukuran terhadap keputusan
kerajaan itu.
“Saya tidak nampak perlunya perhimpunan itu perlu
diteruskan, “ katanya.
Bagaimanapun, Dr Mahathir mengucapkan terima kasih atas
sokongan yang ditunjukkan pihak penganjur jika perhimpunan tersebut diadakan
atas rasa kesyukuran.
Justeru, beliau meminta penganjur membantu polis dan pihak
berkuasa tempatan supaya memastikan tidak berlaku sebarang kekacauan atau
kerosakan terhadap harta benda awam semasa perhimpunan tersebut.
Selain itu, perdana menteri meminta penganjur supaya menjaga
kebersihan di sepanjang laluan perhimpunan serta tidak membuang sampah di
merata-rata tempat.
Isnin lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluluskan
perhimpunan kesyukuran ICERD itu.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan,
dilaporkan berkata melalui kelulusan itu, pihak penganjur dibenarkan berhimpun
di Jalan Raja di antara Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad bermula
jam 2 hingga 6 petang.
Pada 23 Nov lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu
kenyataan berkata, kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD dan terus
mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang termaktub kontrak sosial
dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini. — Bernama


