Musa Aman - Foto Sinar Harian
Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini memberi tempoh dua
bulan kepada pihak pembelaan yang mewakili bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri
Musa Aman untuk membuat permohonan memindahkan kes rasuah berhubung kontrak
konsesi balak berjumlah US$63,293,924 (RM263,460,962.313) ke Mahkamah Tinggi.
Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas peguam
Francis Ng Aik Guan memberitahu bahawa pihaknya belum membuat keputusan untuk
memindahkan kes berkenaan kerana masih menunggu kesemua dokumen berkaitan kes
itu diserahkan oleh pihak pendakwaan.
Loading...
Mahkamah menetapkan 20 Feb 2019 untuk sebutan semula kes
bagi mengetahui perkembangan perkara itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja
Toran memaklumkan beberapa dokumen telah diserahkan dan pihaknya memerlukan
masa untuk menyerahkan sebahagian lagi dokumen yang berkaitan kepada pihak
pembelaan.
Beliau juga memaklumkan pihaknya tidak mempunyai bantahan
sekiranya pihak pembelaan membuat permohonan untuk memindahkan kes itu ke
Mahkamah Tinggi.
Pada 5 Nov lepas, bekas Ketua Menteri Sabah itu mengaku
tidak bersalah atas 35 pertuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di
negeri berkenaan berjumlah US$63,293,924 (RM263,460,962.313).
Bagi kesemua pertuduhan itu, Musa didakwa memperoleh rasuah
daripada lapan pemilik syarikat konsesi balak dan dia dituduh melakukan
kesalahan itu di lapan institusi kewangan di Hong Kong dan Singapura antara 20
Dis 2004 dan 6 Nov 2008.
Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 11(a) Akta
Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama yang
membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima
kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan jika ia
dapat dinilai dalam bentuk wang, atau denda RM10,000, mengikut mana-mana yang
lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
- Bernama


