PAS cemburu dengan kejayaan Pakatan Harapan (PH) sehingga
melabel kerajaan baharu ketika ini, hanya mampu bertahan lima tahun sahaja di
Putrajaya, kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri
Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, dakwaan PAS kononnya tidak wujud
persefahaman di kalangan komponen PH jelas menunjukkan sikap mereka yang akan
kekal sebagai pembangkang sampai bila-bila.
Loading...
“Itu biasa daripada PAS dan mereka akan jadi pembangkang
selama-lamanya. Saya pernah berdoa dahulu agar (PH) tidak jadi pembangkang
lama-lama, akhirnya Allah bagi laluan dan kita menang bentuk kerajaan. Jadi PAS
iri hati.
“Dulu kita pernah runding tapi mereka tidak mahu kerana
mereka dakwa perjuangan Islam.
“Tapi perjuangan kita lebih Islam dari mereka dari segi
menguruskan ekonomi yang lebih baik, tolak rasuah, membina masa depan lebih
cerah. Semuanya Islam. Jika andaian mereka kata kita cuma bertahan lima tahun,
itu tidak tepat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual dengan beberapa
organisasi media di ibu pejabat BERSATU di Petaling Jaya, hari ini.
Ia bersempena perhimpunan agung kali kedua parti itu yang
dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)
bermula Jumaat hingga Ahad ini.
Sebuah akhbar hari ini melaporkan Naib Presiden PAS Datuk
Mohd Nik Amar Nik Abdullah dipetik berkata PH di bawah Perdana Menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad hanya akan bertahan cuma lima tahun sahaja di Putrajaya ekoran
kurangnya persefahaman di dalam komponen parti.
Muhyiddin berkata, andaian PAS itu tidak tepat melihat
kepada apa yang berlaku kepada UMNO dan Barisan Nasional yang kini sudah
berpecah dan hanya tinggal nama sahaja serta tidak bermaya.
“Kalau andaikan barisan (pembangkang) sedia ada, atau apa yang
tinggal saki baki dengan PAS di luar sana, dengan PH sudah berkuasa dan
perkukuhkan komponen, lalu kita bandingkan antara dua – PAS tidak mungkin akan
menang dan kemungkinan PH pertahankan (Putrajaya) itu adalah lebih besar,”
katanya.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, berbanding
PAS, PH akan terus berkuasa di Putrajaya melalui sokongan seperti yang
diperoleh pada pilihan raya umum lalu. – Hmetro


