Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad hari ini
mendedahkan dua lagi kes pencerobohan lot tanah milik kerajaan di Kuala Lumpur
yang dipercayai akibat penyelewengan dan salah guna kuasa.
Beliau berkata ia membabitkan Kompleks Tun Abdul Ghafar Baba
di Lot 33600, Jalan Kuchai Jaya 1 Mukim Petaling dan Dewan Shazac Bistari
Kompleks Yayasan Wangsa Perdana di Lot 27679 Jalan Gombak, Mukim Setapak.
Loading...
Menurutnya, tanah di Kompleks Tun Abdul Ghafar yang
berkeluasan 0.8 ekar memperoleh Perintah Pembangunan daripada pihak berkuasa
pada 25 April 2017 manakala Dewan Shazac Bistari Kompleks Yayasan Wangsa
Perdana berkeluasan 0.7 ekar tidak mempunyai Perintah Pembangunan.
Bercakap pada sidang media bersempena Majlis Ramah Mesra
Bersama Media di Kuala Lumpur hari ini, Khalid berkata pemaju bangunan terbabit
diberi tempoh sehingga hujung Februari ini untuk menghubungi pihaknya bagi
berbincang mengenai jalan penyelesaian.
"Kita juga mengambil kira pendapat penduduk setempat
bagi penyelesaian yang sesuai," katanya sambil menambah antara
penyelesaian itu ialah dengan mengambil alih bangunan tersebut.
Nilai semasa tanah terbabit diangggarkan antara RM500 dan
RM600 kaki per segi, katanya.
'Hapus penguasaan kartel'
Khalid berkata pihaknya akan terus mengumpul bukti dan
dijangka menyerahkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
selepas sambutan Tahun Baru Cina.
Ditanya sama ada pegawai meluluskan pembangunan tersebut
akan diambil tindakan, beliau berkata pihaknya akan menyiasat terlebih sebelum
membuat keputusan memandangkan ada masih bertugas dan yang sudah bersara.
Khalid sebelum ini mendedahkan kes pencerobohan dua lot
tanah milik kerajaan di Medan Imbi, Bukit Bintang. Tanah berkenaan adalah Lot
568 milik Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan dan Lot 716
dimiliki Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan di bawah seliaan Ketua
Setiausaha Negara.
Khalid dilaporkan berkata dua lot tanah seluas 0.14 hektar
itu pada asalnya adalah taman permainan dan kawasan lapang yang dipenuhi pokok
tetapi kini sudah digantikan dengan sebuah bangunan pejabat enam tingkat serta
gerai buah-buahan.
Beliau juga berkata pihaknya akan terus meneliti
projek-projek pembangunan di Kuala Lumpur yang disyaki terlibat dengan
penyelewangan dan salah guna kuasa tanah-tanah milik kerajaan.
Dalam pada itu, Khalid berkata beliau bertekad untuk
menghapuskan penguasaan 'kartel' dalam projek-projek yang ditawarkan Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur sejak sekian lama.
"Kita dapati kebanyakan projek diperoleh
syarikat-syarikat yang sama walaupun kaedah digunakan biasanya secara cabutan
undi," katanya.
- Bernama


