Sembilan Raja Melayu akan bermesyuarat esok bagi memilih
Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang baharu yang akan
bersemayam bagi tempoh lima tahun.
Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja yang dijadual berlangsung di
Istana Negara pada 10.30 pagi diadakan susulan peletakan jawatan Sultan
Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 6 Jan lepas.
Loading...
Jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong kini dipegang Sultan
Perak Sultan Nazrin Shah yang turut memangku jawatan Yang di-Pertuan Agong
sehingga urusan pelantikan ketua negara yang baharu selesai.
Menurut Seksyen 2, Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan,
Majlis Raja-Raja hendaklah menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada Raja
yang layak dipilih, yang negerinya ialah yang pertama dalam senarai pemilihan.
Susunan penggiliran pertama pelantikan Yang di-Pertuan Agong
dilakukan atas persetujuan Raja negeri-negeri mengikut kekananan dari segi
tempoh pemerintahan yang dimulakan dengan Negeri Sembilan, Selangor, Perlis,
Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.
Hanya Raja-raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dan
Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja sahaja yang terlibat dalam proses
pemilihan itu.
Menurut laman web rasmi Pejabat Penyimpan Mohor Besar
Raja-Raja, semasa pemilihan, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja membekalkan satu
kertas undi setiap Raja dan setiap Raja diminta menandakan pendapatnya sama ada
Raja yang paling kanan (satu nama sahaja) adalah sesuai/tidak sesuai dipilih
sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Calon mestilah mendapat majoriti lima undi sebelum Raja yang
mempengerusikan Mesyuarat Pemilihan menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong
kepada baginda.
Jika Raja yang berjaya tidak menerima tawaran ataupun Raja
itu gagal memperoleh undi majoriti maka proses pengundian semula akan
dijalankan, iaitu dengan mencalonkan nama Raja yang kedua dalam senarai
kekananan yang layak dipilih untuk diundi.
Proses hanya akan selesai selepas baginda menerima tawaran
jawatan Yang di-Pertuan Agong. Selepas itu, majlis akan mengisytiharkan baginda
sebagai Yang di-Pertuan Agong dan memegang jawatan itu bagi tempoh lima tahun.
- Bernama


