Najib Razak - Foto oleh Astro Awani
Datuk Seri Najib Razak sekali lagi menafikan pernah berjumpa
Altantuya Shaariibuu, yang mati dibunuh, seperti didakwa sepupu wanita Mongolia
itu.
Menyifatkan dakwaan itu yang dibuat di mahkamah hari ini
sebagai “fitnah”, bekas perdana menteri menegaskan sudah bersumpah berhubung
perkara tersebut, lapor Malaysiakini.
Loading...
“Itu fitnahlah. Tipu. Saya tidak pernah jumpa dia. Saya dah
sumpah dalam masjid,” katanya, merujuk sumpahnya di sebuah masjid di Permatang
Pauh pada 22 Ogos 2008.
Beliau, waktu itu timbalan perdana menteri, bersumpah tidak
mengenali Altantuya dalam suasana kempen pilihan raya kecil (PRK) kerusi
parlimen tersebut.
Di mahkamah, Burmaa Oyunchimeg mendakwa sepupunya pernah
menunjukkan gambar percutiannya di Paris bersama ahli perniagaan Abdul Razak
Baginda dan timbalan perdana menteri bernama “Razak”.
“Saya masih ingat gambar melihat gambar tiga orang, dua
lelaki dan Altantuya.
“Saya bertanya siapa mereka, dan dia kata salah seorangnya
timbalan perdana menteri dan seorang lagi Razak yang bekerja dan menjalankan
perniagaan bersamanya,” katanya.
Beliau memberi keterangan dalam kes saman bapa mangsa bunuh
itu Shaariibuu Setev terhadap dua pesalah kes tersebut, Abdul Razak dan
kerajaan Malaysia.
Burmaa membuat dakwaan tersebut ketika memberi keterangan
sebagai saksi dalam saman RM100 juta yang difailkan keluarga Altantuya susulan
kematian mendiang.
Altantuya mati
dibunuh pada Oktober 2006 apabila kepalanya ditembak dan mayatnya diletupkan.
Dua anggota polis elit dari unit tindakan khas (UTK) Azilah
Hadri dan Sirul Azhar Umar kemudian didapati bersalah kerana membunuh wanita
berkenaan manakala Abdul Razak dibebaskan daripada tuduhan bersubahat terhadap
kes pembunuhan itu.
Pada 4 Jun 2007, Shaariibuu dan isterinya Altantsetseg Sanjaa,
serta dua cucu lelaki mereka, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai
Munkhtulga, memfailkan saman terhadap Azilah, Sirul Azhar, Razak Baginda dan
Kerajaan Malaysia, dengan menuntut pampasan RM100 juta.


