Perdana Menteri Mahathir Mohamad mempertahankan sekatan
Malaysia terhadap atlet Israel dengan menyamakan dengan pembinaan tembok di
sempadan Amerika Syarikat-Mexico oleh pentadbiran Donald Trump.
Mahathir berkata sesebuah negara mempunyai hak menyekat
kemasukan mana-mana pihak, lapor AFP.
Loading...
“Kamu lihat di Amerika sekarang mereka bina tembok yang
sangat tinggi untuk mengelakkan orang Mexico masuk ke Amerika.
“Kami ada idea yang sama, pihak yang tidak dikehendaki di
negara kami tidak akan dibenarkan masuk,” kata Mahathir dalam sidang media di
Vienna, Austria pada Selasa.
Kenyataan itu dibuat tidak lama selepas Canselor Republik
Austria Sebastian Kurz menggasak Malaysia dalam isu sama dengan menyifatkan
sekatan Malaysia bersifat antisemitisme yang tidak boleh diterima sama sekali.
Dr Mahathir kini dalam lawatan kerja selama tiga hari ke
Austria untuk menghadiri dua forum antirasuah.
Mahathir pada 10 Januari lalu menegaskan Putrajaya tetap
dengan pendirian tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan
Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak antara 29 Julai hingga 4 Ogos depan.
Bagaimanapun ketika langkah itu dikritik pemimpin Barat, ia
diraikan penduduk Gaza yang mengibarkan Jalur Gemilang di sebuah stadiumnya
sebagai tanda terima kasih atas setiakawan Malaysia.


