Altantuya Shaariibuu memberitahu sepupunya, beliau diugut dan ditakut-takutkan oleh 'orang' yang bekerja dengan penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda ketika mendiang berada di Malaysia untuk mendapatkan wang yang dijanjikan kepadanya.
Loading...
Sepupu Altantuya, Burmaa Oyunchimeg memberitahu Mahkamah Tinggi, Altantuya berkata dia datang ke negara ini pada Oktober 2006 untuk mengambil wang daripada Abdul Razak bagi kerja terjemahan dalam satu urusan perniagaan selepas lelaki itu enggan membuat pembayaran seperti dijanjikan.
Saksi itu berkata, Altantuya memberitahu bahawa Abdul Razak enggan bertemunya walaupun selepas beberapa kali ke rumah dan pejabat teman lelakinya itu.
Burmaa berkata, malah beliau menghantar pesanan melalui telefon kepada Abdul Razak supaya bertemu Altantuya dan menyelesaikan masalah itu selepas diminta sepupunya untuk berbuat demikian, bagaimanapun tidak menerima sebarang jawapan.
"Altantuya beritahu, ada beberapa orang yang bekerja dengan Abdul Razak mengugut dan menakut-nakutkannya... sepupu saya beritahu, beliau tidak akan dapat ditakut-takutkan kerana dia datang ke Malaysia untuk mendapatkan haknya.
"Saya sebelum itu merasakan bahawa Abdul Razak seorang lelaki yang baik, jadi saya tidak memikirkan sangat mengenai perkara itu pada waktu itu... saya bagaimanapun mendapat tahu kemudian ketika berada di Malaysia, sepupu saya ada membuat laporan polis mengenai perkara berkenaan.
"Pada 19 Oktober 2006 ketika saya berada di Hong Kong, sepupu saya Namiraa Gerelmaa menghubungi saya dan beritahu beliau khuatir kerana mereka bertiga (Namiraa, seorang rakan Uriintuuya Gal-Ochir dan Altantuya) pergi ke rumah Razak Baginda, bagaimanapun Altantuya kemudian pergi ke sana seorang diri dan tidak pulang ke hotel ," katanya.
Burmaa berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Sangeet Kaur Deo dalam kes saman difailkan keluarga Altantuya terhadap bekas pegawai dan anggota polis Cif Inspektor Azilah Hadri serta Koperal Sirul Azhar Umar, Abdul Razak dan Kerajaan Malaysia.
Burmaa berkata, beliau datang ke Malaysia pada 22 Oktober 2006 untuk bertemu dengan Namiira dan Uriintuuya bagi membuat laporan polis berhubung kehilangan Altantuya, bagaimanapun merasakan aduan yang dibuat tidak diambil serius.
Beliau berkata, selepas menghubungi Kedutaan Mongolia di Thailand, beliau diminta menghubungi Konsul Kehormat Kedutaan Mongolia di Malaysia ketika itu, Datuk Syed Abdul Rahman Alhabshi dan bertemu dengannya.
"Kami kemudian diberitahu bahawa Altantuya dibunuh dan diletupkan.
"Selepas perkhabaran itu, bapa Altantuya kemudian berangkat ke Malaysia dan saya masih ingat kami bersama-sama beliau (bapa Altantuya Shaariibuu Setev) dan Syed Abdul Rahman serta beberapa orang sami dibawa polis ke lokasi kejadian ... Encik Shaariibuu membuat permohonan untuk mengadakan upacara sembahyang untuk anaknya di kawasan itu.
"Lokasi kejadian adalah kawasan hutan yang tebal dan kami melalui lorong sempit sebelum tiba di satu kawasan lapang... di sana kami dapati ramai pemberita... bapa Altantuya menjalankan upacara sembahyang dan sami membaca doa. Sebagai sebahagian upacara, kami mengikat kain biru pada pokok dan mengikut tradisi kami memilih pokok yang dipanah petir," katanya.
Burmaa berkata, dalam perjalanan pulang ke Mongolia selepas itu, Uriintuuya ditahan oleh pihak imigresen Malaysia kerana tiada rekod menunjukkan beliau masuk ke negara itu, bagaimanapun masalah berkenaan dapat diselesaikan selepas mendapat pertolongan daripada Syed Abdul Rahman. - Berita Harian


