Pemandu kereta Toyota Vios yang terlibat dalam kemalangan
maut sehingga menyebabkan sebuah SUV terhumban ke laut dari Jambatan Pulau
Pinang Ahad lepas ditahan polis awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan
Nik Abdul Hamid berkata lelaki berusia 21 tahun itu hadir di Ibu Pejabat Polis
Daerah SPT kira-kira pukul 2 pagi tadi bagi menyerah diri sebelum pemandu
berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut.
Loading...
"Lelaki yang bekerja sebagai pendandan rambut itu
ditahan dan polis telah merekodkan keterangan pemandu berkenaan bagi membantu
siasatan kes," katanya di Bukit Mertajam hari ini.
Beliau berkata selain pemandu kereta itu, polis turut
merekodkan 15 keterangan daripada pelbagai individu antaranya anggota keluarga
mangsa, saksi kejadian dan rakan-rakannya.
Katanya pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan kes itu
dalam masa terdekat sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk
tindakan selanjutnya.
"Laporan bedah siasat ke atas pemandu kereta yang
terhumban dalam laut itu mendapati lelaki tersebut mati disebabkan lemas,"
katanya dan menambah proses bedah siasat di Hospital Seberang Jaya selesai
selama tiga jam.
Katanya kes kemalangan itu diklasifikasikan semula menurut
Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu secara berbahaya
sehingga menyebabkan kematian.
SUV jenis Mazda CX-5 yang dipandu Moey Yun Peng, 20, seorang
penuntut kolej swasta, dilaporkan hilang kawalan selepas berlanggar dengan
sebuah kereta lain jenis Toyota Vios sebelum terhumban ke laut dari Kilometer
4, Jambatan Pulau Pinang pada 2.54 pagi, Ahad lepas.
Usaha untuk mengeluarkan kenderaan dan mayat Moey dari dasar
laut, mengambil masa lebih 24 jam sebelum berjaya dikeluarkan petang semalam.
Mayat mangsa yang masih berada di tempat duduk pemandu
kenderaan dengan tali pinggang keledarnya masih terpasang, ditemukan dalam SUV
yang remuk itu semasa ditarik keluar dari laut pada 6.07 petang.
- Bernama


