Isu kelewatan pengagihan bayaran tunggakan kepada peneroka
FELDA akan dijawab Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terus
kepada peneroka ketika lawatannya ke Sungai Koyan minggu ini.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, kelewatan berkenaan
tidak sepatutnya berlaku memandangkan peruntukan sebanyak RM77 juta telah
diluluskan Kerajaan Pusat, pada 20 Dis lepas.
Loading...
"Duit sudah ada dan kita pun nak tahu kenapa masih
belum boleh agihkan kepada peneroka... jadi, kita tunggu (Datuk Seri) Mohammed
Azmin datang dalam minggu ini untuk jelaskan perkara dan menyelesaikan masalah
ini," katanya pada sidang media sewaktu melancarkan slogan PH untuk kempen
PRK "Pembangunan Bersama Harapan" hari ini.
Turut hadir Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Pahang, Fuziah
Salleh dan calon PH, M Manogaran.
Kementerian Kewangan pada 20 Dis lepas mengumumkan
peruntukan khas berjumlah RM77 juta bagi membantu peneroka FELDA melunaskan
bayaran tertunggak pada tahun semasa bagi mengatasi masalah aliran tunai FELDA
yang kritikal.
Peruntukan itu termasuk bagi melunaskan bayaran tertunggak
seperti bayaran khairat kematian berjumlah RM1.2 juta membabitkan waris kepada
120 peneroka yang sudah meninggal dunia, bayaran tunggakan kepada FELDA
Technoplant Sdn Bhd bagi kerja operasi pembangunan ladang peneroka sebanyak
RM43 juta dan bayaran sara hidup serta pendahuluan hasil tanam semula berjumlah
RM32.8 juta untuk manfaat 38,000 peneroka FELDA.
Lim berharap isu berkenaan tidak akan menjejaskan peluang PH
untuk memenangi hati pengundi di kawasan Sungai Koyan yang kebanyakan mereka
adalah peneroka.
-- Bernama


