Kes kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang melecur
disimbah air panas oleh bapanya dalam kejadian di Flat Kampung Melayu, Air Itam
di Pulau Pinang Khamis lepas, bukan disebabkan dia mencuri wang tetapi kerana
makanan habis.
Loading...
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang
berkata berdasarkan siasatan polis, bapa kanak-kanak terbabit naik angin
selepas mendapati makanan di rumah dihabiskan oleh empat anaknya yang berusia
tiga hingga sembilan tahun.
"Kejadian mangsa dikatakan mencuri wang ibunya sebanyak
RM10 merupakan kejadian lama dan bukan punca sebenar suspek bertindak menyimbah
air panas kepada mangsa sehingga melecur tiga peratus di lengan, rusuk dan dada
kanan," katanya di George Town hari ini.
Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, suspek
berusia 41 tahun yang bekerja sebagai ejen jualan kad prabayar baru pulang
daripada bekerja dan dalam keadaan lapar namun mendapati makanan yang
disediakan isterinya yang berumur 38 tahun telah dihabiskan oleh anak-anaknya.
"Dia yang naik angin dan berang kerana lapar bertindak
mengejutkan anak-anaknya yang sedang tidur di ruang tamu dan memarahi serta
memukul mereka. Suspek juga telah bertindak menyimbah semangkuk air panas yang
diambil daripada mesin penapis air minuman di ruang tamu ke arah mangsa,”
katanya.
Che Zaimani berkata tindakan lelaki itu disaksikan oleh
isterinya namun wanita tersebut bukan setakat melihat dan tidak menghalang
perbuatan suspek tetapi turut sama memarahi mangsa yang merupakan anak
perempuan tunggal mereka.
Katanya selepas kejadian itu, pasangan suami isteri terbabit
melarikan diri bersama anak bongsu mereka kerana bimbang ditahan polis.
"Anak sulung serta anak ketiga suspek kini berada bawah
jagaan nenek mereka iaitu ibu kepada isteri suspek yang tinggal di flat sama.
Polis kini giat mengesan suspek yang melarikan diri dengan menaiki kereta jenis
Proton Saga warna putih dengan nombor pendaftaran PCK 9818," katanya.
- Bernama


