PUTRAJAYA — Kerajaan telah membayar sejumlah RM23
juta pampasan kepada kesemua 961 bekas kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam
Darat (SPAD ) pada 31 Dis lepas, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata pampasan tersebut merupakan sebahagian
daripada usaha kerajaan memberi bantuan kepada kakitangan SPAD yang terjejas
susulan pembubaran suruhanjaya itu yang diambil alih oleh Agensi Pengangkutan
Awam Darat (APAD) bermula 1 January
Loading...
Menurutnya, kadar pembayaran pampasan adalah berdasarkan
satu bulan gaji mengikut tahun perkhidmatan dan minimum pampasan yang dibayar
adalah sebanyak tiga bulan gaji walaupun kakitangan berkhidmat kurang dari
tempoh tersebut.
“Seorang kakitangan menerima pampasan tertinggi sebanyak
RM268,000 tanpa potongan cukai pendapatan,” katanya dalam sidang media selepas
menghadiri majlis menandantangani perjanjian antara Kerajaan Malaysia bersama
MASwings Sdn Bhd (MASwings) di sini hari ini.
Loke berkata selain pembayaran pampasan, kementerian juga
telah meminta kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menempatkan bekas pegawai SPAD ke jawatan lain
dalam sektor kerajaan.
Kementerian juga bekerjasama dengan syarikat-syarikat milik
kerajaan seperti Malaysia Airports Holdings Bhd dan Malaysia Airlines serta
syarikat tambang murah AirAsia dalam memberi peluang pekerjaan kepada mereka
yang terjejas, katanya.
“Daripada 961 bekas pekerja SPAD, lebih 600 telah diserap ke
bahagian penguatkuasa di Jabatan Pengangkutan Jalan dan APAD.
“Manakala bagi lebih 300 bekas pekerja SPAD yang lain, 80
peratus daripada mereka telah ditawarkan kerja pada 2 Januari lalu manakala
selebihnya dijangka akan ditawarkan selewat-lewatnya akhir bulan ini,” katanya.
Loke berkata beliau agak terguris hati dengan dakwaan bahawa
mereka tidak mendapat kerja sehingga sanggup mengangkat sepanduk di pejabat
SPAD.
“Saya merayu kepada mereka agar bersabar kerana kerajaan
sedaya upaya menangani masalah ini. Mana ada dalam sejarah kerajaan sebelum ini
apabila pekerja di agensi dibubarkan diberikan pekerjaan dan juga pampasan,”
katanya. — Bernama


