Dr Mahathir Mohamad sering berkata beliau tidak pandai
memilih pengganti.
Malah dalam ucapan 30 Disember lepas ketika menggulung
perbahasan di Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(Bersatu) di Putrajaya beliau mengulangi hal yang sama.
Loading...
Saya tidak mahu mempersoalkan sama ada beliau
bersungguh-sungguh atau berseloroh apabila membuat kenyataan itu.
Sebaliknya saya berpendapat Dr Mahathir mematuhi peraturan
di dalam memilih pengganti atau bakal pengganti.
Apa yang berlaku kepada pengganti atau bakal pengganti lebih
berupa masalah dan pilihan mereka sendiri.
Daripada pengamatan saya, Dr Mahathir sentiasa dipandu oleh
kehendak dan keputusan parti di dalam membuat pilihan pengganti dan bakal
pengganti.
Atas alasan itulah beliau membawa masuk semula dan
memberikan jawatan kepada banyak orang yang menentang beliau dalam parti dan
kerajaan.
Itulah yang berlaku dengan Abdullah Ahmad Badawi yang
akhirnya dilantik menjadi perdana menteri dan watak-watak lain yang menentang
beliau dalam pertandingan jawatan presiden Umno tahun 1987.
Apabila beliau membawa Abdullah masuk semula kabinet pada
tahun 1990 dan diberikan jawatan menteri luar, saya bertanya beliau mengapa
beliau berbuat demikian sedangkan Abdullah menentang beliau?
Katanya, beliau membawa Abdullah balik kerana dia memang
jawatan naib presiden dalam pemilihan parti. Sebagai presiden Umno, katanya,
beliau terpaksa menghormati kehendak ahli.
Jadi yang salah bukanlah cara Dr Mahathir memilih pengganti
atau bakal pengganti tetapi pengganti atau bakal pengganti itu sendiri menembak
kaki mereka sendiri.
Sedikit sebanyak saya mengikuti dari jarak dekat bagaimana
Dr Mahathir memilih pengganti dan bakal pengganti bermula dengan Musa Hitam.
Dari awal lagi Dr Mahathir melihat Musa sebagai sekutu.
Apabila beliau dilantik menjadi timbalan perdana menteri pada tahun 1976 oleh Almarhum
Hussein Onn, Dr Mahathir menjadikan Musa rakan.
Beliau mempunyai beberapa pilihan dari kalangan kepimpinan
tertinggi Umno ketika itu tetapi memilih Musa kerana anak Johor itu dilihatnya
sebagai lebih serius, demokratik dan intelektual.
Apabila beliau naik menjadi perdana menteri pada tahun 1981,
beliau melantik Musa sebagai timbalan dan memberikan beloau jawatan tambahan
sebagai menteri dalam negeri.
Yang menyebabkan kerenggangan hubungan mereka adalah apabila
Musa mula termakan nasihat para penasihat beliau yang separuh masak tetapi
bercita-cita tinggi.
Musa menampilkan diri sebagai pemikir ekonomi liberal yang
pro-pasaran walaupun pada mulanya beliau dilihat cenderung kepada sosialisme,
khususnya ketika menjadi menteri perusahaan utama di bawah Hussein.
Dr Mahathir pula lebih nasionalistik dan melihat dasar
ekonomi sebagai pemangkin kepada penjanaan keupayaan ekonomi, khususnya dalam
konteks Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Musa mula tidak sependapat dengan Dr Mahathir apabila Dr
Mahathir melancarkan beberapa inisiatif besar bagi membina kapasiti ekonomi,
khasnya untuk Bumiputera, seperti Projek Kereta Nasional (Proton).
Musa dan banyak ahli ekonomi liberal ketika itu melihat
Proton dan projek-projek yang serupa dengannya sebagai tidak sesuai dan membazir.
Musa melancarkan cabaran dengan meletakkan semua jawatan
dalam kerajaan tetapi mengekalkan jawatan politik. Beliau kemudian pergi ke
Makkah untuk menunaikan Umrah dan seterusnya ke London bercuti.
Strateginya ialah penyokong beliau dalam Umno dan kerajaan
akan mengenakan tekanan ke atas Dr Mahathir supaya tidak menerima peletakan
jawatan beliau dan memanggilnya balik.
Mereka tersilap besar. Dr Mahathir tidak merayu Musa pulang
sebaliknya memanggil sidang Majlis Tertinggi Umno dan menyerahkan keputusan
kepada ahli majlis.
Keputusan suara terbanyak ialah jika Musa hendak bersara
daripada kerajaan mereka hormati hasrat beliau.
Musa cuba mengekalkan kedudukan sebagai timbalan presiden
Umno dalam pemilihan tahun 1987 dengan berpakat dengan Tengku Razaleigh Hamzah.
Umno berpecah kepada dua pasukan - “Team A” dan “Team B”.
Tengku Razaleigh gagal rampas jawatan Presiden daripada Dr Mahathir dan Musa
hilang jawatan kepada Almarhum Abdul Ghafar Baba .
Bersama Abdul Ghafar, Dr Mahathir mempertahankan Umno
daripada percubaan Tengku Razaleigh “merampasnya” melalui saman mahkamah.
Anwar adalah pilihan Dr Mahathir. Tidak sampai setahun
menjadi Perdana Menteri beliau membawa Anwar masuk Umno dan dalam masa tidak
sampai sebulan mencalonkan beliau sebagai wakil Barisan Nasional (BN) dalam
pilihan raya umum (PRU) 1982.
Beliau berjaya merampas kerusi Parlimen Permatang Pauh
daripada penyandang PAS, Almarhum Yusof Rawa.
Mengalu-alukan kemenangan Anwar, Dr Mahathir menyifatkan
beliau sebagai anak ayam baru tumbuh bulu pahat tetapi sudah diterima oleh
rakyat jelata sehingga mampu mengalahkan Yusof Rawa.
Yusuf Rawa, bapa Menteri di Jabatan Perdana Menteri
sekarang, Dr Mujahid, adalah gergasi politik ketika itu. Pada PRU 1969 beliau
menewaskan Dr Mahathir di Kota Setar Selatan (sekarang Pendang).
Anwar naik mencacak. Dalam masa 11 tahun beliau naik
daripada anak ayam berbulu pahat kepada timbalan perdana menteri dan bakal
pengganti Dr Mahathir.
Apa yang berlaku selepas itu adalah sejarah dan kita sering
diingatkan melalui hujah ahli falsafah George Santayana bahawa orang yang lupa
(kejadian) masa lampau akan mengulangi kesilapannya.
Ibnu Khaldun dalam bukunya yang agung “Muqaddimah” (1377),
antara lain, menulis (dengan izin):
“History is an art of valuable doctrine, numerous in
advantages and honourable in purpose; it informs us about bygone nations in the
context of their habits, the prophets in the context of their lives and kings
in the context of their states and politics, so those who seek the guidance of
the past in either worldly or religious matters may have that advantage.”
Jadi marilah kita belajar daripada sejarah.
A KADIR JASIN bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits
Times Press (M) Bhd. Beliau kini bergiat dalam Bersatu sebagai pimpinan pusat
parti itu. Rencana ini asalnya dimuat naik di blog beliau."
Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan
pendirian rasmi kami.


