Foto oleh Kosmo Online
Timbalan Pengarah Pos Kawalan Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (SKMM) dan seorang pekerja swasta direman empat hari
bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kes meminta suapan bernilai
RM270,000 berhubung kelulusan projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).
Loading...
Perintah reman sehingga Ahad ini terhadap Mohd. Iskandar
King ,42, dan seorang lagi pekerja dikeluarkan oleh Majistret Low Wen Zhen di
Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi.
Perintah reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut
dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) 2009, lapor Kosmo! hari ini.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih
20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana
lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Terdahulu, kedua-dua lelaki itu tiba di Mahkamah Majistret
dengan berpakaian lokap SPRM dan tangan bergari pada pukul 9.20 pagi.
Menurut sumber, Timbalan Pengarah itu ditahan SPRM di pusat
membeli-belah sekitar Putrajaya semalam dipercayai ketika menerima wang tunai
berjumlah RM50,000 iaitu baki jumlah suapan yang sepatut diterimanya.
Kata sumber itu lagi, dia didakwa menerima wang suapan itu
secara berperingkat sejak 2015 oleh syarikat terlibat sebagai ganjaran kerana
memberi projek berkenaan.
USP merupakan satu usaha kerajaan dalam memperluas jaringan
komunikasi dan multimedia khususnya bagi kawasan dan masyarakat yang kurang
mendapat perkhidmatan itu.


