TANAH RATA — Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim
menegaskan Pakatan Harapan (PH) tidak menggunakan pendekatan politik wang
ketika berkempen sebagaimana Barisan Nasional (BN) bagi mendapatkan sokongan.
Ketika berucap di hadapan kira-kira 200 anggota komuniti
Orang Asli Pos Betau dekat sini, Anwar berkata pengundi Parlimen Cameron
Highlands harus percaya dan yakin bahawa kerajaan baharu akan menyalurkan
peruntukan sebaik sahaja calonnya diberi mandat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK)
kawasan itu.
Loading...
“Saya ucap terima kasih kepada anda semua kerana sanggup
bersusah payah datang. Saya hanya boleh beri jaminan, kita berkempen tidak
macam BN, asal dekat pilihan raya bagi duit, bagi duit dan itu ini selepas itu
hilang selama lima tahun.
“Saya masa berkempen Ahli Parlimen Port Dickson dua bulan
lalu tak bagi (duit). Sebaik menang, menteri turun, projek turun, masjid surau,
tokong, termasuk (di) kampung Orang Asli kita bagi perhatian,” katanya.
Turut hadir Pengerusi PKR Pahang Fuziah Salleh, Setiausaha
Agung DAP Lim Guan Eng, Ahli Dewan Negara Bob Manolan Mohamad dan calon PH M.
Manogaran.
Anwar kemudiannya mengadakan sesi dialog tertutup kira-kira
15 minit bersama ketua-ketua kampung atau Tok Batin Orang Asli sebelum
meneruskan jadualnya bertemu komuniti Orang Asli di Pos Sinderut serta
mengadakan ceramah perdana di Sungai Koyan pada sebelah malamnya.
Dalam pada itu, Anwar turut menyeru pengundi Orang Asli Pos
Betau agar memberi kepercayaan kepada Manogaran untuk pihaknya melakukan
perubahan.
“Berapa lama dah kerajaan BN memerintah, tengok cara hidup
Orang Asli, saya tak kata tiada perubahan langsung tapi sedikit sekali
perubahan yang mereka lakukan.
“Tanggungjawab kita, kita tidak mahu lagi mana-mana
masyarakat terpencil.
“Sebab itu saya minta kawan-kawan kali ini kita kalahkan BN
dan sokong PH dan saya yakin dia (Manogaran) akan bercakap (masalah) bagi pihak
semua rakyat,” katanya.
PRK Cameron Highlands pada 26 Januari ini menyaksikan pertandingan
4 penjuru membabitkan calon PH, Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd Bor serta dua
calon bebas iaitu bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab
Talib, 61, dan petani, Wong Seng Yee, 40 tahun.
PRK berkenaan diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30
November lepas mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN dalam
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi Parlimen itu, terbatal dan tidak sah. —
Bernama


