Foto Astro Awani
LAXENBURG — Tun Dr Mahathir Mohamad berkata jumlah
kes-kes rasuah yang dilaporkan di Malaysia meningkat sejak kebelakangan ini
selepas kerajaan baru Pakatan Harapan menampilkan dasar dan usaha keras bagi
menangani gejala itu.
Perdana Menteri berkata orang ramai dan pemberi maklumat
tidak lagi takut untuk melaporkan kes-kes rasuah memandangkan kerajaan kini
lebih terbuka dalam menangani kes-kes sedemikian.
Loading...
“Apabila kita tanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM), mereka kata jumlah kes-kes yang dilaporkan meningkat tiba-tiba, namun
kes-kes ini bukan berlaku dalam kerajaan sekarang, tapi semasa kerajaan
terdahulu,” katanya semasa menyampaikan syarahan bertajuk “Memerangi Rasuah di
Malaysia: Pencapaian, Cabaran dan Perspektif di International Anti-Corruption
Academy (IACA) di sini semalam.
Beliau berkata kini orang ramai merasakan lebih bebas untuk
memberikan maklumat mengenai sebarang perlakuan rasuah, dan perlindungan turut
diberikan kepada mereka di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Merujuk kepada rasuah, beliau berkata ia dikategorikan
kepada dua peringkat; yakni diberi secara terbuka dan “di bawah meja”.
Beliau berkata sekiranya amalan rasuah di sesebuah negara
itu dilakukan secara terbuka, ia akan menimbulkan masalah, kerana orang ramai
akan menawarkan rasuah secara sukarela bagi mendapatkan perkhidmatan daripada
pegawai-pegawai kerajaan, dan ia akan menjadi suatu amalan yang ‘biasa’ dalam
kalangan masyarakat.
“Apabila sesebuah negara itu di peringkat rasuah diberikan
‘di bawah meja’, ia bermakna masih ada harapan untuk memerangi rasuah, kerana
orang ramai tidak menawarkan rasuah, sebaliknya dipaksa berbuat demikian,”
tambahnya.
Dr Mahathir berkata adalah mustahil untuk menghapuskan
rasuah sekiranya sesebuah negara itu mengamalkan rasuah secara terbuka.
Katanya kerajaan sedang melakukan segala yang termampu bagi
mengurangkan gejala rasuah, sekalipun tidak dapat menghapuskan kesemuanya.
Beliau berkata tiada sesiapa yang boleh terkecuali daripada
undang-undang, dan undang-undang semata-mata tidak cukup untuk memerangi
rasuah.
Dr Mahathir berkata sesetengah negara merekodkan kes-kes
rasuah yang minima, di mana rakyatnya menentang rasuah, dan perkara ini
seharusnya dipupuk dari usia muda lagi.
Katanya antara usaha yang diambil kerajaan bagi memerangi
rasuah adalah menetapkan bahawa semua menteri kabinet, termasuk beliau sendiri
perlu mengisytiharkan aset kepada SPRM. — Bernama


