Tidak masuk akal sebenarnya bagi Bersatu meraikan kemasukan
60 orang bekas kakitangan Jasa ke dalam parti itu dalam suatu majlis khas
diadakan di Shah Alam, semalam.
Jasa atau Bahagian Hal Ehwal Khas adalah unit propaganda
UMNO yang menggunakan wang rakyat atau dana kerajaan dalam aktiviti
sehariannya.
Loading...
Sejak ditubuhkan kerjanya tidak laon adalah mempromosi UMNO dan memburuk-burukkan
serta memfitnah parti lawan, termasuk Pakatan Harapan dalam PRU14 lalu.
Ketua Pengarah Jasa terakhir sebelum kekalahan UMNO dalam
pilihanraya lalu ialah Dr. Puad Zarkashi, bekas Ahli MT UMNO serta Ketua UMNO
Bahagian Batu Pahat.
Berikutan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran
kerajaan pada Mei lalu, Jasa telah dibubarkan dan pembubaran itu pada asasnya
mendapat reaksi yang positif daripada rakyat.
Ini kerana, walaupun Jasa merupakan sebuah jabatan kerajaan
di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, peranannya kepada negara dan
rakyat boleh dikatakan tidak ada, melainkan mempromosi UMNO dan para
pemimpinnya.
Kini, setelah beberapa bulan berlalu, untuk apa sebenarnya
Bersatu meraikan kemasukan "musuh sendiri" ke dalam parti itu?
Bukankah Jasa adalah musuh Pakatan Harapan dalam PRU14 lalu
dan jika UMNO tidak hilang kuasa, apakah
mereka ini mahu menyertai Bersatu?
Jadi, tidaklah sukar sebetulnya untuk memahami apa tujuan
kemasukan mereka ini ke dalam Bersatu.
Lebih menghairankan, mengapa pegawai Perdana Menteri
merangkap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sendiri yang meraikan
kemasukan mereka?
Kenapa tidak dibiarkan saja bekas kakitangan Jasa itu
menyerahkan borang keahlian secara peribadi kepada Ketua Bahagian Bersatu di
mana mereka ingin menjadi ahli?
Mengapa mesti ada majlis khas?
Besar sangatkah mereka itu?
Selain itu, dengan meraikan kemasukan tersebut, apakah
Bersatu sebenarnya mahu menggunakan mereka itu sebagai tenaga propaganda khas
melalui penubuhan unit baru di bawah Pejabat Perdana Menteri yang bakal
menggunakan dana kerajaan juga?
Jika tidak ada tujuan tertentu, apa mustahak dan besar
sangat kedudukan 60 bekas kakitangan Jasa itu sehingga perlu diraikan sebegitu
rupa kemasukan mereka ke dalam Bersatu?
*Shahbudin Husin adalah penulis buku kritik politik
terkenal. Tulisan adalah pendapat peribadi beliau yang tidak semestinya
mewakili pendirian kami.


