PERTEMUAN antara Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan
Iskandar dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijadualkan berlangsung
hari ini, susulan jemputan dari Istana Johor.
Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Endie Shazlie Akhbar
berkata jemputan tertutup bersama Sultan Ibrahim itu telah ditunda sejak
kira-kira dua minggu lalu.
Loading...
Beliau berkata susulan penundaan itu, kedua-dua pihak tidak
dapat menentukan tarikh mesyuarat sehingga Dr Mahathir memutuskan pertemuan itu
diadakan hari ini.
Katanya, ia adalah pertemuan pertama antara Sultan Ibrahim
dan Dr Mahathir selepas pertukaran kerajaan pada pilihan raya umum, 9 Mei lalu.
“Ia pertemuan empat mata antara Sultan Ibrahim dan Dr
Mahathir. Tuanku telah mencadangkan pertemuan diadakan sejak dua minggu lalu.
“MB Johor (Menteri Besar, Datuk Osman Sapian) dijadualkan
tidak menghadiri pertemuan tertutup itu, bagaimanapun, aspek protokol ketika
lawatan Perdana Menteri akan diuruskan oleh Pejabat MB.
“Jadual lawatan Perdana Menteri di Johor hanya membabitkan
pertemuan tertutup dengan Sultan,” katanya ketika dihubungi oleh NSTP semalam.
Endie berkata tiada jadual rasmi ditetapkan sepanjang sesi
pertemuan kepada Dr Mahathir di Istana Bukit Serene, yang dijangka bermula jam
3 petang.
Beliau juga menafikan bahawa pertemuan itu disebabkan
pemilihan Yang di-Pertuan Agong baharu, oleh Majlis Raja-Raja, 24 Januari ini.
“Pertemuan itu sudah dirancang sebelum Sultan Muhammad V
meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Berdasarkan senarai pusingan sembilan paling kanan dalam
Majlis Raja-Raja, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah adalah ketua negeri yang
seterusnya layak dipilih diikuti Sultan Ibrahim.
Ketika ini, kerusi Yang di-Pertuan Agong baharu tertumpu
kepada Sultan Pahang dan Johor.
Semalam, New Straits Times melaporkan kerabat Diraja Pahang
akan berbincang kemungkinan untuk menabalkan Tengku Abdullah sebagai Sultan
Pahang.
Cadangan berkenaan sekiranya diterima, akan menyaksikan
Tengku Abdullah, ditabalkan sebagai Sultan Pahang keenam, Jumaat ini sekali
gus, melayakkan beliau dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, berdasarkan
sistem pusingan kedua.
Difahamkan, Sultan Ahmad sudah dimaklumkan mengenai cadangan
menabalkan Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang baharu. – HMetro


