Foto oleh Razak Ghazali
GEORGE TOWN — Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini
melahirkan rasa simpati terhadap Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berikutan
penahanan anak lelakinya kerana disyaki positif dadah dalam operasi polis di
sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur, semalam.
Beliau berkata Mohamad telah melakukan perkara yang tepat
dengan secara terbuka menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan
siasatan terhadap kes anak lelakinya berusia 31 tahun itu.
Loading...
Menurutnya, ia merupakan langkah tepat memandangkan tiada
sesiapa pun di negara ini yang lebih tinggi daripada undang-undang dan
Perlembagaan.
“Saya amat simpati kepada beliau kerana walaupun sukar untuk
menjadi menteri, tetapi kadang kala ia lebih sukar untuk menjadi seorang bapa,”
kata Anggota Parlimen Bagan itu kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau turut melahirkan sokongan kepada Mohamad dan berharap
semua pihak dapat memberikan ruang kepada keluarga beliau serta membiarkan
proses undang-undang diambil dengan sewajarnya.
Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP, berkata beliau memahami
apa yang dialami Mohamad ketika ini kerana anaknya juga pernah dituduh mencabul
rakan sekelasnya.
“Saya memahami keadaan Mat Sabu kerana saya sendiri juga
seorang bapa...lebih-lebih lagi keluarga saya yang selalu menjadi sasaran. Jadi
saya berharap mereka akan bertabah hati dalam menghadapi cabaran ini,” katanya.
Dalam laporan media semalam, anak Mohamad Sabu atau lebih
dikenali sebagai Mat Sabu dan rakannya berusia 33 tahun ditahan dalam
pemeriksaan polis di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur,
kira-kira jam 3 pagi.
Kedua-dua lelaki berkenaan disyaki positif dadah jenis ganja
dan dibebaskan dengan jaminan polis. — Bernama


