Foto Kosmo
KLUANG — Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik hari
ini mengesahkan yang beliau sudah tidak lagi memegang jawatan sebagai Presiden
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), yang sepatutnya berakhir pada
tahun 2021.
Menurut beliau, surat perletakan jawatan telah pun
ditandatanganinya dan kini menunggu pengumuman rasmi universiti berkenaan untuk
pelepasan jawatan yang disandangnya bermula bulan September tahun lepas.
Loading...
“Saya kini bukan lagi Presiden UIAM, surat perletakan
jawatan pun telah saya tandatangani, cuma kini menunggu pengumuman dari UIAM
termasuklah individu yang bakal menggantikan saya.
“Perletakan jawatan ini atas kerelaan saya dan demi kebaikan
bersama,” katanya ketika diminta mengulas berkenaan kedudukannya dalam UIAM, di
sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan
kerja dan memberikan sumbangan kelengkapan klinik di Klinik Kesihatan Simpang
Renggam yang turut dihadiri oleh Pakar Perubatan dan Kesihatan Keluarga Klinik
Kesihatan Simpang Renggam, Dr Fatimah Hassan.
Jelas Maszlee lagi, beliau turut berharap semua pihak dapat
memberi kerjasama sepenuhnya kepada individu yang bakal menggantikan tempatnya
itu.
Beliau turut enggan mengulas tarikh sah perletakan
jawatannya itu, selain enggan mengulas lanjut berkenaan desas-desus individu
yang bakal menggantikannya iaitu bekas Naib Canselor UIAM, Datuk Dr Mohd Daud Bakar.
Sementara itu, semasa lawatannya ke klinik kesihatan
berkenaan beliau telah memberikan beberapa kelengkapan untuk kemudahan orang
ramai termasuk kerusi menunggu dan alat pendingin hawa.
Katanya, pemberian sumbangan berkenaan adalah susulan daripada
gambar dan berita yang diviralkan dalam media sosial mengenai beberapa
kemudahan terbabit yang telah uzur serta tidak selesa untuk kegunaan umum.
“Hari ini kita berikan beberapa kemudahan di klinik di sini
agar orang ramai terutamanya pesakit akan berada dalam keadaan yang selesa
ketika menunggu giliran mereka untuk mendapatkan rawatan,” katanya. — Bernama


