Foto Berita Harian
Keputusan Sultan Muhammad V melepaskan jawatan sebagai Yang
di-Pertuan Agong ke-15 disifatkan sebagai kali pertama berlaku dalam sejarah
pentadbiran Malaysia.
Dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian
Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmad Marthada Mohamed
berkata, susulan daripada peletakan jawatan itu, Majlis Raja-Raja akan
bermesyuarat bagi menentukan pengganti Yang di-Pertuan Agong.
Loading...
“Meskipun umum mengetahui bahawa hierarki paling kanan dalam
sistem penggiliran raja-raja terdiri daripada Sultan Pahang dan diikuti oleh
Sultan Johor serta seterusnya Sultan Perak, namun keputusan pengganti Yang
di-Pertuan Agong bakal ditentukan Majlis Raja-Raja.
“Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan untuk tidak
membuat sebarang spekulasi berhubung pelantikan baharu itu memandangkan ia
hanya akan diputuskan Majlis Raja-Raja melalui sistem penggiliran selain
mendapat persetujuan kesemua sembilan sultan,” katanya, lapor Kosmo Online.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung
peletakan jawatan Sultan Muhammad sebagai Yang di-Pertuan Agong XV selepas
berkhidmat sebagai ketua negara sejak dimasyhurkan pada 13 Disember 2016.
Sementara itu, Pensyarah Undang-Undang, Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia, Prof. Madya Dr. Shamrahayu A. Aziz menjelaskan, Yang
di-Pertuan Agong dibenarkan meletak jawatan mengikut Perkara 32(3) Perlembagaan
Persekutuan dengan menghantar surat kepada Majlis Raja-Raja.
“Terdapat peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang
membenarkan Yang di-Pertuan Agong meletak jawatan dengan alasan-alasan yang
baginda sendiri ketahui.
“Sekiranya peletakan jawatan tersebut diterima oleh Majlis
Raja-Raja, maka boleh diisytiharkan takhta Yang di-Pertuan Agong itu
kosong,”jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, Timbalan Yang di-Pertuan Agong tidak
semestinya dilantik secara langsung kerana perlu melalui proses yang ditetapkan
oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang.


