Parti Warisan Sabah (Warisan) mahu Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (Bersatu) terus berpegang pada janji untuk tidak melebarkan sayap ke
Sabah seperti dipersetujui sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Presidennya, Mohd Shafie Apdal ketika menegaskan pendirian
itu berkata Warisan mampu mengurus serta mentadbir Kerajaan Negeri Sabah
meskipun tanpa Bersatu melebarkan sayap ke negeri ini.
Loading...
"Saya telah menyatakan perkara itu termasuk pendirian
kami (Warisan mentadbir kerajaan negeri Sabah dan Bersatu tidak melebarkan
sayap ke Sabah) sebelum pilihan raya.
"Pada PRU14, Bersatu mendengar (pendirian) Warisan itu,
dan sekarang selepas PRU14, saya berharap mereka akan terus
mendengarkannya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah
Terbuka Krismas anjuran parti itu, hari ini.
Mohd Shafie berkata kerajaan negeri diterajui Warisan adalah
mesra dengan Pakatan Harapan (PH) di Sabah, dan perkara itu lebih penting,
selain kerjasama serta hubungan baik dengan kerajaan persekutuan.
Warisan juga akan terus memberi sokongan terhadap apa sahaja
dilakukan kerajaan persekutuan sekali gus bersama-sama menyatupadukan rakyat,
katanya.
- Bernama


