Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri
Muhyiddin Yassin menepis dakwaan bahawa Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr
Mahathir Mohamad tidak yakin dengan kemenangan calonnya, M. Manogaran, bagi
Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen Cameron Highlands, Sabtu ini.
Beliau berkata Dr Mahathir akan tetap turun berkempen hari
ini dan menganggap pilihan raya kecil itu penting bagi PH.
Loading...
"Biasanya Perdana Menteri tak pergi kempen kecil
seperti ini tapi kerana dia fikir ini adalah PRK yang penting dan kita
bertanding di sini, tentu masyarakat serta pengundi di sini mahu dengar mesej
Tun sebagai perdana menteri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas
bersolat Maghrib dan Isyak di Masjid Sungai Koyan malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Dr
Mahathir tidak yakin dengan kemenangan Manogaran dari DAP disebabkan jadual
pemimpin nombor satu itu yang tidak banyak meluangkan masa dalam kempen PRK
itu.
Mengikut jadua, Dr Mahathir hanya akan berada di sini dari
jam 11pagi hingga 2 petang ini iaitu perjumpaan bersama warga Sungai Koyan di
Dataran Sungai Koyan 1 dan kemudiannya mengakhiri dengan solat Jumaat di Masjid
Al-Muhajirin.
Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan Pengerusi PKR
Pahang, Fuziah Salleh bahawa ada Tok Batin di kampung Orang Asli sudah
‘diculik’ pihak tertentu sehingga menyukarkan PH turun berkempen di kawasan
penempatan mereka, Muhyiddin berkata siasatan tidak dapat dilakukan berhubung
dakwaan itu memandangkan tiada sebarang laporan polis dilakukan mengenainya.
"Dalam masa kempen ni macam-macam perkara boleh
terjadi. Tapi kalau tak ada bukti dan tak ada asas atau pun tiada laporan
dibuat kepada pihak berkuasa, polis ke siapa, siasatan tak boleh dilakukan,
jadi kita tak tahu apa keadaan sebenar," katanya, yang juga menteri dalam
negeri.
-- Bernama


