Foto Bernama
Kumpulan Otai Reformis 1998 mendakwa terdapat kelompok
tertentu dalam PKR yang cuba menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada
menjadi perdana menteri.
Loading...
Pengerusinya berkata komplot itu berdasarkan kenyataan
timbalan presiden Datuk Seri Azmin Ali dan setiausaha sekretariat Pakatan
Harapan (PH) Datuk Saifuddin Abdullah baru-baru ini.
“Kita boleh lihat daripada kenyataan [Azmin] di Facebook...
atau bahkan oleh seorang menteri,” kata Dr Idris Ahmad, wakil rakyat PKR yang
pernah dicalonkan menteri besar Selangor, lapor Projek MM hari ini.
“Kenapa tiba-tiba ada komen [mengenai peralihan kuasa] di
sana, sini, dan ia mencetuskan atau menunjukkan keraguan atas apa yang telah
dipersetujui.”
Otai Reformis adalah himpunan beberapa aktivis awal Gerakan
Reformasi 1998 yang mendukung kuat Anwar berdepan perdana menteri waktu itu Tun
Dr Mahathir Mohamad.
Kelmarin, Saifuddin yang juga menteri luar menjelaskan
majlis presiden PH tidak pernah membincangkan tempoh bagi jawatan perdana
menteri yang kini disandang Dr Mahathir.
Manakala Azmin minggu lalu menggesa Anwar mengubah senarai
lantikan jawatan tertinggi parti supaya lebih “adil” dan “profesional” bagi
mencerminkan “semangat musyawarah”.
Namun Anwar bertegas enggan tunduk pada desakan Azmin
sehingga dianggap PKR sedang dilanda pergolakan baru selepas kempen sengit
pemilihan parti beberapa bulan lepas.


