Foto The Sun Daily
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkongsi
pengalamannya sebagai seorang pelajar kepada murid-murid Sekolah Kebangsaan
(SK) Kedawang Langkawi, pada Selasa.
Loading...
Sambil menyifatkan dirinya kurang kebolehan walaupun
berpeluang melanjutkan pengajian ke universiti untuk mengambil ijazah
kedoktoran, Dr Mahathir turut berkongsi rahsia yang boleh dicontohi pelajar
dalam menuntut ilmu.
"Oleh kerana saya sedar saya bukan penuntut terbaik,
dan saya bersaing dengan penuntut yang amat baik, saya terpaksa berusaha lebih
daripada penuntut lain.
“Rahsia kita yang kurang kebolehan mudah saja, kita kena rajin,
kita kena buat lebih daripada orang lain. Kita tahu kalau kita buat sesuatu
berulang kali, kita akan jadi cekap. Kalau buat sekali saja, tak jadi, kena
buat berkali-kali," katanya dalam lawatan ke sekolah tersebut hari ini.
Walaupun terpaksa membuat sesuatu berulang kali dan agak
ketinggalan, Tun Dr Mahathir menyifatkan beliau tetap gigih untuk bersaing
serta mengatasi penuntut lain.
"Oleh kerana saya ketinggalan, saya bukan penuntut
terbaik, saya perlu kejar penuntut lain. Kalau penuntut lain baca buku sekali
atau dua kali, saya baca 10 kali," katanya.
Sementara itu, lawatan beliau dan isteri Tun Dr Siti Hasmah
Mohd Ali itu turut dikongsikan di laman sosial Instagramnya @chedetofficial.
“Generasi hari ini adalah generasi yang akan mencorak masa
hadapan, di sekolah, anak-anak kita dibekalkan dengan ilmu, ilmu menjadikan
hidup kita lebih sempurna,” katanya yang turut menzahirkan ucapan terima kasih
kepada warga pendidik.
Rata-rata netizen memberikan reaksi positif kepada 'posting'
Perdana Menteri itu. - Astro Awani


