Foto Malay Mail
KUALA LUMPUR — Tun Dr Mahathir Mohamad semalam
menegaskan tiada peruntukan yang mengecualikan sesiapapun daripada kedaulatan
undang-undang.
Perdana Menteri berkata kedaulatan undang-undang terpakai
kepada semua orang, daripada Raja-raja sehinggalah kepada perdana menteri dan
menteri-menteri, kepada penjawat awam serta rakyat biasa.
Loading...
“Bagi Raja-raja terdapat mahkamah khas tetapi
undang-undangnya adalah sama seperti undang-undang yang terpakai bagi rakyat
biasa. Raja-raja juga mesti menghormati undang-undang.
“Kita telah bersetuju bahawa Malaysia menerima demokrasi,
iaitu pemerintahan oleh rakyat dan untuk rakyat. Ini dicapai melalui
persetujuan bersama, dalam bentuk Demokrasi Berparlimen dengan Raja Berperlembagaan
di peringkat Negeri dan Persekutuan.
“Ke arah ini, perlembagaan dan undang-undang di peringkat
yang berlainan telah disebarluaskan. Malangnya beberapa perlanggaran
undang-undang telah dilakukan tanpa tindakan diambil oleh agensi penguatkuasaan
undang-undang.
“Dalam kata lain, Kedaulatan Undang-undang telah tidak
diendahkan,” katanya dalam catatan
terkini blog chedet.cc malam tadi.
Dr Mahathir menyatakan kebimbangannya apabila melihat
pelanggaran undang-undang dilakukan secara terang-terangan atas kepercayaan
salah bahawa kekebalan telah diberikan.
“Hasilnya boleh diramalkan dan rakyat merana akibat
ketidakadilan. Perniagaan tidak boleh dijalankan dengan baik. Harta benda
dirampas. Tindakan luar biasa dan salah telah dilakukan,” katanya.
Dr Mahathir berkata aduan awam terhadap mereka yang
mencabuli kedaulatan undang-undang adalah sah dan tidak melanggar mana-mana
perundangan, malah tidak boleh dianggap sebagai hasutan.
“Mereka akan dianggap sebagai kebebasan berucap. Rakyat
boleh membuat laporan terhadap perkara ini atau secara terang-terangan bercakap
mengenainya,” katanya.
Dr Mahathir juga menegaskan bahawa undang-undang asas
Malaysia ialah perlembagaan dan ia merupakan badan undang-undang menyeluruh
yang menentukan struktur undang-undang Malaysia daripada Yang di-Pertuan Agong
hingga kepada Raja-raja Negeri, kepada Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta
badan-badan yang diberi kuasa untuk memerintah dan menguatkuasakan.
Beliau berkata semua undang-undang lain diperoleh daripada
perlembagaan dan tiada undang-undang yang dalam apa jua cara sekali pun
menafikan perlembagaan mungkin diisytiharkan.
Perdana menteri berkata antara matlamat paling penting
Pakatan Harapan ketika dalam perjuangaannya untuk menggulingkan kerajaan
kleptokratik Datuk Seri Najib Razak adalah memulihkan semula kedaulatan
undang-undang.
“Najib tidak mengendahkan undang-undang apabila ia sesuai
dengan dirinya. Malah undang-undang telah disalahgunakan untuk menindas rakyat.
“Daripada melindung rakyat, undang-undang telah mendedahkan
rakyat kepada ketakutan yang tidak diketahui tetapi nyata,” katanya.
Dr Mahathir turut menegaskan kerajaan Pakatan Harapan akan
menjunjung undang-undang dan hak rakyat serta menegakkan kedaulatan
undang-undang. — Bernama


