KUALA LUMPUR — Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda
(Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tetap dengan pendiriannya menolak
pemberian kontrak kerajaan dan jawatan kepada golongan tertentu dalam Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Syed Saddiq berkata setiap anggota Bersatu bebas melontarkan
pandangan masing-masing dalam amalan demokrasi parti berkenaan.
Loading...
"Tak guna masuk dan menjawat jawatan yang tinggi tapi
pada akhirnya lupakan asal perjuangan yang menyebabkan saya menyertai dunia politik,
tetapi yang bagus sudah ada kenyataan tegas daripada ketiga-tiga pemimpin parti
iaitu (Pengerusi), Tun Dr Mahathir Mohamad, (Presiden), Tan Sri Muhyiddin
Yassin dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.
"Mereka bersetuju dengan pandangan Armada, jadi saya
rasa dalam bab ini pemimpin tertinggi bersama dengan pendirian kami (Armada)
dan ini menunjukkan kita hendakkan budaya politik yang baharu," katanya.
Syed Saddiq berkata demikian bagi mengulas mengenai kononnya
ada usaha oleh sebahagian ketua bahagian Bersatu untuk menyingkirkan beliau
susulan kenyataannya yang menyelar ucapan wakil Wilayah Persekutuan berhubung
isu kontrak dan jawatan pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Putrajaya, Ahad lalu.
Terdahulu, Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan
ditemui pemberita selepas melakukan lawatan di Stadium Hoki Nasional Bukit
Jalil yang dilaporkan mengalami kerosakan pada permukaan padang. — Bernama


