SINGAPURA — Singapura telah mencadangkan untuk
bertemu dengan Malaysia bagi membincangkan pewujudan Kawasan Larangan kekal
oleh Kuala Lumpur bagi tujuan aktiviti ketenteraan meliputi ruang udara Pasir
Gudang berkuatkuasa 2 Januari, 2019.
Loading...
Kementerian Pengangkutan Singapura berkata Kawasan Larangan
itu yang berada dalam lingkungan ruang udara yang terkawal dan sesak akan
memberi impak kepada operasi sedia ada dan operasi biasa oleh pesawat yang
melalui ruang udara tersebut.
"Kami telah membangkitkan kepada Malaysia tentang
kebimbangan kami terhadap kesan buruk Kawasan Larangan ke atas penerbangan
awam," kata kementerian dalam kenyataan yang dikeluarkan susulan
pertanyaan media mengenai pewujudan Kawasan Larangan oleh Malaysia.
Menurut kenyataan itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam
Malaysia telah mengeluarkan Notis kepada Juruterbang (Notam) pada 25 Disember
2018.
Melalui notis tersebut, Malaysia telah memaklumkan kepada
pihak berkaitan penerbangan mengenai pewujudan Kawasan Larangan kekal untuk
tujuan aktiviti ketenteraan meliputi ruang udara Pasir Gudang berkuatkuasa 2
Januari 2019, kata kenyataan itu. — Bernama


