Enam belas bekas anggota Umno hari ini memperoleh kebenaran
untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi
dan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran
bagi memulakan semakan kehakiman untuk mencabar kesahan parti politik itu.
Ini susulan keputusan sebulat suara panel tiga anggota Hakim
Mahkamah Persekutuan, diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Seri David Wong
Dak Wah, dalam membenarkan pemohonan untuk kebenaran merayu mereka.
Loading...
Mengikut undang-undang, litigan yang berhasrat merayu
keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes sivil, perlu mendapatkan kebenaran daripada
Mahkamah Persekutuan terlebih dahulu.
Hakim Wong membenarkan permohonan bagi kebenaran merayu
berdasarkan dua persoalan undang-undang.
Persoalan itu adalah: Sama ada seksyen 18C Akta Pertubuhan
1966 yang menyisihkan bidang kuasa mana-mana mahkamah untuk melayani sebarang
kes saman, permohonan, persoalan atau prosiding dalam sebarang perkara
berkaitan hal ehwal parti, adalah ultra vires (melampaui bidang kuasa) Perkara
121 Perlembagaan Persekutuan.
Satu persoalan lagi adalah sama ada keputusan Mahkamah
Persekutuan dalam kes Pendaftar Pertubuhan lwn Datuk Justine Jinggut adalah
undang-undang yang masih berkuat kuasa berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan
baru-baru ini dalam kes Semenyih Jaya Sdn Bhd lwn Pentadbir Tanah Daerah Hulu
Langat selain kes M Indira Gandhi lwn Pengarah Jabatan Agama Islam Perak dan
lain-lain.
Bagi kedua-dua kes, Hakim Mahkamah Persekutuan ketika itu,
Tan Sri Zainun Ali (kini bersara) berpendapat bahawa kuasa kehakiman terletak
kepada badan kehakiman dan klausa penyisihan dalam undang-undang yang
menghapuskan bidang kuasa mahkamah untuk menyemak perkara tertentu dalam
lingkungan perundangan adalah tidak mengikut perlembagaan.
Dalam permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran bagi
memulakan semakan kehakiman, kesemua 16 bekas anggota Umno itu memohon perintah
certiorari bagi membatalkan keputusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) seperti yang
diumumkan menerusi kenyataan media bertarikh 5 Mac 2018, dalam memberi Umno
perlanjutan tempoh untuk mengadakan pemilihan parti sehingga 19 April 2019,
yang melepasi tempoh maksimum.
Enam belas bekas anggota Umno itu ialah Salihudin Ahmad
Khalid, Noorhalimi Yahya, Mariam Mohd Ishak, Mohd Hafami Hanif, Saharudin
Tukiman, Azaid Jani, Normalawati Hassan, Radiana Abd Manaf, Mohd Rafeek Rahim,
Nurul Hanna Mohd Suhot, Kamarul Abd Wahid, Mohd Hikamal Md Hassim, Muzamzamir
Abd Wahab, Norizam Jamaludin, Rohani Ahmad dan Muhamad Hafizi Hashim.
Mereka selanjutnya memohon perintah mandamus untuk mendesak
RoS membubarkan sementara Umno dan bagi RoS menggantung semua aktiviti Umno
sehingga selesai semakan kehakiman itu.
Mereka turut memohon perisytiharan bahawa Umno merupakan
parti yang tidak sah berkuat kuasa 20 April, tahun lepas.
Pada 27 April 2018, Mahkamah Tinggi menolak permohonan
kebenaran bagi semakan kehakiman yang difailkan kumpulan itu selepas
membenarkan bantahan awal yang dikemukakan RoS.
Mereka kalah dalam rayuan itu yang ditolak oleh Mahkamah
Rayuan pada 5 Nov tahun lepas.
Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Kamaludin Mohd Said
(kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak permohonan kebenaran bagi semakan
kehakiman atas alasan bahawa Seksyen 18C Akta Pertubuhan menetapkan bahawa
seseorang anggota parti tidak boleh membawa pertikaian berkaitan parti ke
mahkamah.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mewakili kumpulan itu
manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili RoS. - Bernama


