Foto oleh Julia Chan
KOTA KINABALU — Bekas pengerusi badan perhubungan
Umno Sabah Datuk Hajiji Noor berkata beliau bersama beberapa wakil rakyat Bebas
di negeri ini kini sedang membuat penelitian dan mempertimbangkan untuk
menyertai mana-mana parti tempatan atau parti yang berpangkalan di Semenanjung.
Beliau, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun)
Sulaman berkata namun pihaknya telah membuat keputusan untuk tidak menyertai
Parti Warisan Sabah (Warisan) atau kembali menyertai Umno.
Loading...
“Kita sedang melihat mana parti yang sesuai untuk disertai
dalam masa satu bulan ini. Namun kita tidak akan sertai Warisan,” katanya
kepada selepas menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina 2019 Parti
Bersatu Sabah (PBS) di sini hari ini.
Pada 12 Disember tahun lepas, seramai 13 wakil rakyat
daripada Umno keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas kerana tidak yakin
dengan hala tuju parti itu di negeri ini.
Selain Hajiji, wakil rakyat lain yang telah meninggalkan
Umno ialah lima anggota parlimen iaitu Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran),
Yamani Hafez Musa (Sipitang), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Zakaria
Edris (Libaran) dan Datuk Rahim Bakri (Kudat).
Sementara itu Adun lain ialah Datuk Seri Masidi Manjun
(Karanaan), Datuk Japlin Akim (Usukan), Datuk Musbah Jamli (Tempasuk), Datuk
Gulam Haidar Khan (Kawang), Datuk Mohd Arifin Arif (Membakut), Datuk Isnin
Aliasnih (Klias), Matbali Musah (Lumadan) dan Datuk Nizam Titingan (Apas).
Bagaimanapun ADUN Tempasuk baru-baru ini telah menyertai
Warisan.
Hajiji berkata walau telah menjadi wakil rakyat Bebas, namun
pihaknya kini masih menjalinkan kerjasama dengan Parti Bersatu Rakyat Sabah
(PBRS), PBS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR ) di bawah Gabungan Bersatu
Sabah (GBS). — Bernama


