Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyokong
cadangan untuk menggubal undang-undang khas bagi mengekang perbuatan menghina
Institusi Diraja.
Ahmad Faizal berkata sudah sampai masanya cadangan itu
dipertimbangkan susulan beberapa kejadian melibatkan pengguna media sosial yang
memuat naik status dan komen yang menghina institusi raja-raja Melayu.
Loading...
“Ada cadangan untuk kita gubal undang-undang baru khusus
untuk perkara ini dan saya bersetuju kerana perbuatan mereka jelas menghina
Insitusi Diraja yang kita mesti pelihara seperti yang termaktub dalam
Perlembagaan Persekutuan.
“Saya fikir dah sampai tahap melampau (orang ramai yang
membuat kenyataan menghina) tanpa memikirkan kesan terhadap perbuatan mereka
dan saya menyokong tindakan polis menjalankan siasatan ke atas pihak
berkaitan,” katanya kepada pemberita di Chemor pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan
polis menahan seorang ahli perniagaan dari Kuantan kerana disyaki menghina Yang
di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di
laman sosial Facebook.
Ketua Polis Pahang Zakaria Ahmad dilaporkan berkata lelaki
berusia 45 tahun itu disiasat mengikut mengikut Akta Hasutan 1948.
Portal Malaysiakini melaporkan semalam, tular di laman
sosial dakwaan seorang peniaga yang menggunakan nama akaun 'Michael Cheah'
memuat naik kenyataan menghina di ruangan komen Facebook ke atas gambar
Al-Sultan Abdullah.
Bagaimanapun, pemilik akaun itu didapati telah memadamkan
komen berkenaan.
Sebelum ini, beberapa pihak mencadangkan supaya kerajaan
menimbang untuk memperkenalkan undang-undang khas untuk mengambil tindakan ke
atas pihak yang menghina Yang di-Pertuan Agong dan Institusi DiRaja.
Antara cadangan yang disuarakan adalah supaya kerajaan
menggubal undang-undang khas seperti di Thailand untuk mengambil tindakan
terhadap mana-mana pihak yang membuat kenyataan yang menghina institusi raja di
negara itu. - Astro Awani


