SEMENYIH — Manifesto Pakatan Harapan (PH) pada
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, sudah mula ditunaikan secara
berperingkat, kata Timbalan Presiden PH Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu
berkata beliau faham bahawa rakyat tidak sabar menunggu dan mahukan segala
janji diselesaikan segera, namun beliau meminta rakyat bersabar.
Loading...
Beliau berkata adalah tidak wajar untuk rakyat menghakimi
kerajaan yang baharu sembilan bulan mengambil alih pemerintahan negara hanya
kerana kegagalan melaksanakan semua manifestonya.
“Kita (kerajaan PH) sudah mula memberi dan menyampaikan
segala bentuk bantuan dan pertolongan kepada rakyat yang memerlukan.
“Sembilan bulan (memerintah) bukan satu tempoh lama, ini
bukan hendak memberi alasan tetapi bagi menjelaskan (bahawa) rakyat harus
memberi ruang yang munasabah kepada kerajaan PH,” katanya ketika berucap pada
Malam Kebudayaan Harapan Semenyih di Bandar Rinching di sini, malam tadi.
Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berada di sini,
berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
PRK DUN Semenyih menyaksikan pertembungan empat penjuru
antara Muhammad Aiman Zainali (PH), Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Nik Aziz
Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas Kuan Chee Heng.
Pengundian DUN Semenyih akan diadakan Sabtu ini. Kerusi
Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11
Januari lepas akibat serangan jantung. — Bernama


