Beberapa jam selepas pemimpin kanan PAS hadir memberi
sokongan kepada Umno dan BN di Semenyih, maklumat baru didedahkan Dr Mahathir
Mohamad agak mengejutkan.
Menurut perdana menteri, dalam pertemuan beliau dengan
Presiden PAS semalam Abdul Hadi Awang memberi perakuan untuk tidak menyokong
Umno.
Loading...
Ditemui di Petaling Jaya hari ini Mahathir mendakwa pada
asasnya beliau dan Abdul Hadi berbincang mengenai politik semalam, lapor Malaysiakini hari ini.
Ditanya mengenai butiran lanjut, Mahathir berkata PAS tidak
akan menyokong Umno lagi.
"Tak akan menyokong Umno, ada juga pengakuan secara
tertulis dan ditandatangani," katanya.
Semalam Abdul Hadi hadir di pejabat Mahathir di Yayasan
al-Bukhari di Kuala Lumpur untuk mengadakan kali kedua dengan pengerusi PH itu.
Ia berlaku sehari sebelum penamaan calon bagi PRK Semenyih
di Kajang.
ketika ditemui media di Alor Limbat, Terengganu semalam
Abdul Hadi menyatakan pertemuan tersebut untuk membincangkan hal-hal
pentadbiran.
"Lebih bincang penyelarasan antara kerajaan negeri dan
kerajaan pusat.
"Isu Majlis Tindakan Ekonomi Negara, projek-projek ada
di bawah kerajaan pusat dan kerajaan negeri supaya tiada percanggahan,"
katanya.
Abdul Hadi juga mengesahkan kerajaan persekutuan sudah
membayar royalti minyak kepada kerajaan Terengganu.
Pertemuan semalam diadakan ekoran permohonan daripada Abdul
Hadi.
Semasa ditanya di Alor Limbat sama ada Abdul Hadi
membincangkan isu PRK Semenyih, anggota parlimen Marang itu berkata:
"Semenyih, nama calon pun tak ada lagi. Secara umumnya seperti yang kita
tahu, Semenyih tak sama dengan Cameron (Highlands).
"Cameron ni, PAS lawan DAP. Semenyih ni kita lawan
bukan perkauman, (tapi) Melayu dengan Melayu dan kita serah kepada
kebijaksanaan pengundi di situ, dan keperluan melihat kepentingan Melayu dan
Islam."
Abdul Hadi juga menambah PAS akan melihat keadaan sama ada
akan membantu BN selepas mendapat maklumat terperinci daripada PAS Selangor.
"Apa yang penting, kita mahu kedudukan orang Melayu dan
Islam kuat," katanya.
Ditanya mengenai isu calon pembangkang, Abdul Hadi menjawab:
"Soal calon kita tak ada hak sebab kita dah tarik diri dengan tidak
bertanding."


