Tempoh sembilan bulan adalah terlalu singkat untuk rakyat
menilai prestasi kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan (PH) berikutan ia
merupakan tempoh bagi parti itu membuat 'housekeeping' (pembersihan) terhadap
peninggalan kerajaan terdahulu.
Timbalan Menteri Kewangan Amiruddin Hamzah berkata walaupun
tempoh tersebut singkat, kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif untuk
memastikan keperluan dan kepentingan rakyat dijaga termasuk mengambil alih
konsesi dan menghapuskan bayaran tol secara berperingkat.
Loading...
"Tempoh sembilan bulan ini macam mengandung...baru kira
nak bersalin. Kita mula dengan kertas putih atau kain putih tapi masuk dengan
keadaan berselerak habis kita nak kena buat 'housekeeping' dan itu ambil masa.
"Sekarang kita sudah dan sedang buat perubahan. Perdana
Menteri Dr Mahathir Mohamad juga sangat mengambil berat terhadap semua janji
dalam manifesto dan jawatankuasa khas untuk tengok pelaksanaan ini juga telah
ditubuhkan," katanya.
Terdahulu, beliau menghadiri Program Jelajah Bantuan Amal
dan Transformasi (JEBAT) dan gotong-royong di Kampung Pantai Halban bersama
lebih 30 anggota JEBAT.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai kenyataan badan
penyelidik bebas Ilham Centre semalam bahawa BN boleh mengalahkan Pakatan
Harapan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih,
Amiruddin berharap pengundi dapat membuat keputusan yang tepat.
"Bila turun padang, kita tengok respons baik yang mana
kita (PH) tidak ditolak, tak ada yang tak nak jumpa, tak nak salam dan perkara
itu tidak berlaku seperti di PRK Cameron Highlands sebelum ini, jadi kaji
selidik itu belum tentu lagi betul.
"Kita sentiasa tegas mengikut peraturan pilihan raya
dekat mana juga PRK dan tidak bagi janji itu ini kepada rakyat. Contohnya, ada
menteri yang telah luluskan sesuatu tapi sedar kalau ia diteruskan orang akan
cakap itu rasuah sebab nak PRK dan sebab itu dia tarik balik," katanya.
Katanya, dia berharap pengundi di Semenyih dapat menilai dan
memberi mandat kepada PH untuk terus menerajui kawasan itu dan ia akan memberi
lebih banyak kebaikan kerana kerajaan yang memerintah negara juga adalah PH.
Pengundian bagi PRK Semenyih yang bermula 8 pagi ini
menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Muhammad Aiman Zainali
daripada PH, Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia
(PSM) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng. - Bernama

