KUALA LUMPUR — Calon Pakatan Harapan (PH) bagi
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S. Streram
dipilih bertanding semula pada PRK tersebut berikutan dinafikan hak untuk
bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lepas.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi
Pakatan Harapan (PH) berkata beliau berpegang kepada prinsip keadilan iaitu
calon yang layak harus dibenarkan bertanding untuk menjadi wakil rakyat.
Loading...
“Kita dapati bahawa calon dulu adalah orang tertentu kerana
penipuan maka dia kalah. Sekarang didapati (keputusan) PRU di kawasan itu
dibatalkan dan diadakan PRK untuk menentukan siapa sebenarnya yang patut jadi
wakil rakyat di situ. Jadi orang yang lama diletakkan di situ.
“Kita pegang kepada prinsip, takkan dia lawan dengan bekas
Menteri Besar, calon PH tidak besar macam calon BN. Kita terpaksa juga letak
calon yang lama,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan Dr Streram gagal
menjelaskan hutang berkaitan dengan PRK Rantau, Dr Mahathir berkata selagi
calon tidak bankrap mereka dibenarkan untuk bertanding meskipun mempunyai
hutang.
“Kalau calon itu melanggar undang-undang dan tidak layak
jadi calon, kita tidak akan letak dia. Tetapi setakat yang kita tahu walaupun
ada hutang dia masih boleh jadi calon, lainlah kalau bankrap,” katanya.
Dr Streram tidak dibenarkan bertanding dalam PRU14 ekoran
ketiadaan pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memasuki
pusat penamaan calon dan lantaran itu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri
Mohamad Hasan, diumumkan menang tanpa bertanding kerusi tersebut.
Berikutan itu, pada 23 Mei tahun lepas, Dr Streram
memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon pilihan raya DUN itu diadakan
semula, kerana mendakwa penyandangnya, Mohamad yang juga bekas Menteri Besar
Negeri Sembilan, tidak dipilih secara sah dan terbatal.
Susulan itu, Mahkamah Khas Pilihan Raya pada 16 Nov
memutuskan PRK DUN Rantau perlu diadakan serta-merta berikutan kemenangan
Mohamad di kerusi itu adalah tidak sah dan terbatal. — Bernama


