Foto oleh Astro Awani
Kemasukan wakil rakyat Sabah beramai-ramai menganggotai
Bersatu jelas dapat mengukuhkan parti serpihan Umno itu, sekaligus dapat
mencapat matlamat Pengerusinya Dr Mahathir Mohamad yang dikatakan ingin melihat
Umno ditutup.
Penganalisis politik Prof Kartini Aboo Thalib dari
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, tindakan Bersatu menerima wakil
rakyat Sabah itu merupakan strategi yang tepat kerana amat penting bagi 'parti
bunga' itu meluaskan pengaruhnya di Sabah dan Sarawak.
Loading...
"Saya kira kemasukan lima ahli Parlimen dan lapan Adun
berserta ratusan lagi ahli Umno ke dalam Bersatu adalah strategi Mahathir untuk
Bersatu serta keinginan kepada penyatupaduan Melayu yang lebih utuh, sekaligus
selari dengan objektif Mahathir mahukan Umno ditutup," katanya kepada
Malaysiakini hari ini.
Pada 15 Mac, empat MP, dua orang senator dan dua Adun dari
Sabah diterima keanggotaannya secara rasmi ke dalam Bersatu.
"Pengukuhan Bersatu boleh dilihat sebagai mengukuhkan
Pakatan Harapan jika keseimbangan dalam PH itu adalah setara, tetapi ianya
boleh bersifat sebaliknya jika pergeseran ideologi dan prinsip (clash of
ideology and prinsiples) dalam kalangan PH tidak dirawat.
"Mahathir perlu mengukuhkan Bersatu kerana dalam PH,
Bersatu masih sebuah parti kecil dan lemah. Mengambil seramai mungkin wakil
rakyat amat diperlukan," katanya.
Pandangan ini turut disokong Prof Jeniri Amir dari
Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) yang menjangkakan akan berlakunya
pergeseran di kalangan parti komponen di dalam PH.
Katanya, perdana menteri berusia 93 tahun itu sebelum
pilihan raya umum ke-14 lalu bersetuju Bersatu tidak berhasrat untuk
mengembangkan sayapnya ke Sabah.
"Sebagaimana pendirian Mahathir yang berubah daripada
awalnya tidak berhasrat untuk ke Sabah dan kemudiannya mengubah pendiriannya
masuk ini, membuktikan bahawa Dr Mahathir sendiri mempunyai impian dan juga
keinginan untuk menambahkan jumlah kerusi Bersatu di Sabah.
"Secara tidak langsung, ini akan beri ancaman kepada
Warisan. Saya tidak fikir bahawa (Presiden Warisan) Shafie Apdal dapat duduk
selesa dengan kehadiran Bersatu di situ," katanya.
Namun, pada 18 Februari, Shafie yang juga ketua menteri
Sabah itu berkata Warisan tidak boleh menghalang Bersatu jika parti itu
benar-benar berhasrat melebarkan sayapnya ke Negeri Di Bawah Bayu itu.
Mahathir berkata, langkah Bersatu membuka cawangan di situ
untuk mengukuhkan kedudukan kerajaan negeri yang dipimpin Warisan, bukan
menentangnya.
Bagaimanapun, Jeniri yakin Shafie tidak akan duduk diam
dengan Bersatu yang sedang meluaskan pengaruhnya ke Sabah.
"Dia (Shafie) akan berusaha untuk mengekang kehadiran
Bersatu dan pada waktu yang sama mengukuhkan kedudukan Warisan.
"Dia punya segala kekuatan dan juga segala jentera
untuk pastikan Warisan akan tetap kukuh di situ walaupun ada usaha Bersatu
untuk memasuki wilayah atau pun pengaruh menghakiskan pengaruh Warisan di situ.
"Kerana kekuatan Shafie tidak boleh diketepikan.
Selepas Dr Mahathir tidak lagi jadi perdana menteri, jadi pengerusi PH dan
Bersatu, sudah pasti kekuatan akan kendur," katanya.
Sementara itu, Prof Awang Azman Awang Pawi dari Universiti
Malaya pula berpendapat, tindakan itu bukan sahaja mengundang suasana dingin
dalam parti komponen PH, malah ia memberi kredit kepada Umno.
Menurut Awang Azman, Umno yang dipimpin Mohamad Hasan kini
berpeluang melakukan "pembersihan" di dalam parti itu.
"Umno dapat melakukan pembersihan dan hanya yang setia
pada parti serta perjuangan akan kekal dalam Umno.
"Saya kira bukan sahaja pihak pembangkang akan
memainkan isu ini untuk memecahbelahkan PH, akan tetapi, PKR juga.
"Ini supaya dapat memainkan isu ini secara dalaman bagi
memberi tekanan kepada Dr Mahathir untuk lebih cepat berundur dan (Presiden
PKR) Anwar ibrahim cepat digantikan dalam tempoh dua tahun ini," katanya.
Untuk rekod, Mahathir menjanjikan agar Anwar akan menggantinya
sebagai perdana menteri ke-8 selepas dua tahun beliau mentadbir kerajaan.
Mengulas lanjut mengenai pemindahan wakil rakyat Umno ke
Bersatu itu, Awang Azman menyifatkan tindakan yang dilihat sebagai mengukuhkan
parti itu sebenarnya bersifat sokongan palsu (pseudo support).
Beliau berkata ini disebabkan sebahagian besar penduduk di
kawasan parlimen yang diwakili oleh wakil rakyat yang beralih arah kepada
Bersatu itu sebenarnya masih lagi kuat menyokong Umno.
"Ini akan menyebabkan kedudukan Bersatu tidak begitu
kuat berdepan dengan PRU ke-15 nanti.
"Tindakan ini hanya mengukuhkan PH secara palsu
(artificial) atau di atas kertas. Namun, hakikatnya kesannya minima dalam
mengukuhkan PH," katanya.
Dengan perkembangan ini, Bersatu memiliki 26 anggota parlimen,
menjadikan PH kini mempunyai 129 MP di Dewan Rakyat.
Empat MP yang menyertai ke Bersatu ialah Azizah Mohd Dun
(Beaufort), Ronald Kiandee (Beluran), Abd Rahim Bakri (Kudat) dan Zakaria Mohd
Edris (Libaran).
Sementara dua Adun Sabah yang menyertai Bersatu ialah Hajiji
Haji Noor (Sulaman) dan Masidi Manjun (Karanaan).
Senator Abd Ghani Mohamad Yassin dan John Ambrose yang
dilantik menjadi ahli Dewan Negara pada Januari lalu juga diterima
keanggotaannya ke dalam Bersatu.
Ambrose, bekas ketua Umno bahagian Penampang sering dirujuk
sebagai simbol kemajmukan Umno kerana beliau seorang Kadazan beragama Kristian.
Sumber: Malaysiakini


