Manfaat kos untuk membina lebih banyak jambatan antara
Malaysia dan Singapura perlu dikaji, menurut Menteri Kanan Emeritus Singapura
Goh Chok Tong.
"Mahathir mahu membina lebih banyak jambatan antara
Malaysia dan Singapura. Manfaat kos perlu dikaji," kata catatan bekas
perdana menteri republik itu dalam laman Facebook beliau.
Loading...
Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad pada 19 Mac
berkata Malaysia dan Singapura memerlukan sekurang-kurangnya tiga hingga empat
jambatan lagi untuk memudahkan aliran trafik antara kedua-dua negara.
Dr Mahathir berkata berbanding Pulau Pinang, yang kini
merancang untuk membina jambatan ketiga ke tanah besar dalam bentuk terowong,
aliran trafik di Singapura jauh lebih besar.
Ketika mengkaji manfaatnya daripada segi kos, Goh melahirkan
harapan bahawa kedua-dua pihak mula “membina lebih banyak “jambatan” politik
dan muhibah antara pemimpin, anggota parlimen dan rakyat kedua-dua
negara."
"Hubungan antara rakyat kedua-dua negara semakin
renggang sejak Pemisahan, dan generasi seterusnya akan mendapati mereka lebih
tidak mengenali antara satu sama lain.
"Saya menyokong hubungan rapat dan kukuh antara
Malaysia dan Singapura, baik fizikal mahupun politik. Kita adalah jiran dan
kekal berjiran selama-lamanya," menurut beliau dan mengakhiri postingnya
dengan initial GCT.
Pada 9 Ogos, 1965, Singapura berpisah dari Malaysia.
Kedua-dua negara dihubungkan oleh dua jambatan melalui Tambak
dan Link Kedua. - Bernama


