KUALA LUMPUR — Liga Bola Sepak Malaysia (MFL)
mengambil tindakan undang-undang terhadap Telekom Malaysia (TM) dengan
memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, berhubung pelanggaran kontrak
penajaan oleh syarikat telekomunikasi itu kerana gagal membuat pembayaran hak
penajaan dan penyiaran untuk Liga Malaysia 2019.
MFL dalam satu kenyataan semalam memaklumkan tindakan
undang-undang berkenaan diambil terhadap TM demi melindungi kepentingan pasukan
yang bertanding dalam Liga Malaysia.
Loading...
“Jumlah dituntut oleh kami terhadap TM di bawah kontrak
penajaan bersama adalah melebihi RM400 juta dan saman tersebut juga disampaikan
kepada peguam cara TM pada hari ini.
“Memandangkan perkara ini dirujuk kepada proses
undang-undang, kami tidak akan memberi sebarang komen lanjut terhadap perkara
ini dan menyerahkan pertikaian ini untuk diputuskan di mahkamah,” jelas MFL.
Kedua-dua pihak dilaporkan menandatangani perjanjian untuk
tempoh lapan tahun bermula dari Januari 2018 sehingga 2025.
TM, bagaimanapun didakwa mencadangkan terma-terma baharu
termasuk perubahan kepada terma asas yang dipersetujui bersama sehingga wujud perbezaan
pendapat antara kedua-dua pihak.
Untuk rekod, MFL pada Jumaat lepas, dilaporkan mengambil
keputusan menamatkan kontrak penajaan bersama TM, selepas mencapai kata sepakat
dalam satu mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah di Johor Bahru. — Bernama


