Foto oleh The Star
TANJUNG MALIM — Pakatan Harapan (PH) akan terus
berada di posisi sama iaitu sebagai kerajaan negeri pada persidangan Dewan
Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan bulan depan dan begitu juga pembangkang
kekal di blok mereka.n
Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata
dakwaan mengenai menteri besar akan bertukar hanyalah cubaan sesetengah pihak
yang mahu melihat ketidakstabilan politik di negeri ini.
Loading...
“Kerajaan berjalan dengan baik, hubungan dengan parti
komponen dalam PH amat kukuh dan kita mendapati PAS serta Umno bergabung itu
mereka punya pasal tetapi PH tidak terjejas tidak berlaku apa-apa.
Kenapa Perak menjadi sasaran? Sasaran di semua tempat tapi
di sini kita melayan, kalau tak layan tidak akan jadi apa-apa sampai Perdana
Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kena ulas jadi hentikan,” katanya.
Ahmad Faizal bercakap kepada pemberita selepas merasmikan
Mesyuarat Agung Dwitahunan Ikatan Mandailing Malaysia-Indonesia (IMAMI)
2019/2021 di Dewan Seri Tanjung di sini, hari ini.
Ahmad Faizal berkata demikian ketika mengulas mengenai
penafian Dr Mahathir memberi persetujuan kepada seorang anggota Exco Perak
untuk menggantikan menteri besar Perak sekarang.
Media hari ini melaporkan bahawa perdana menteri berkata
kontroversi melanda Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak
itu kerana ada orang hendak merebut jawatan Ahmad Faizal.
Mengulas mengenai permintaan ejen jualan tiket bas di
Terminal Amanjaya, Ipoh supaya mewartakan
Silveritage sebagai terminal bas baharu, Ahmad Faizal berkata pihaknya
akan mengadakan perbincangan dengan ejen terlibat dalam masa terdekat.
“Kita akan berbincang dengan ejen tiket bas di Terminal
Amanjaya dan insya-Allah kita akan rungkaikan masalah itu,” katanya. — Bernama


