Seorang balu kepada bekas setiausaha sulit kepada
Najib Razak mengaku menerima tiga keping cek berjumlah RM52,680 daripada Najib
bagi membiayai pendidikan dua anaknya selepas kematian suaminya.
Manisah Othman, 55, isteri kepada Amirudin Mohd
Baria berkata beliau menerima cek berjumlah RM13,800 pada 2015 selepas kematian
suaminya pada 21 Jun 2013 akibat kanser usus tahap empat.
Semasa sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan
Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Manisah memberitahu bahawa
Najib ada melawat arwah suaminya ketika beliau dimasukkan ke Hospital Prince
Court pada 2013.
Loading...
"Ketika itu, Najib ada berjanji untuk membantu
membiayai pendidikan anak-anak kami sekiranya sesuatu terjadi kepada dirinya.
"Namun beliau tidak menyebutkan secara
spesifik jumlah atau bila bantuan itu akan diberikan kepada kami...tetapi
beliau ada berjanji," kata Manisah yang bekerja sebagai Perangkawan di
Jabatan Perangkaan Malaysia, Putrajaya pada perbicaraan kes Najib yang didakwa
atas tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42
juta.
Muhammad Saifuddin: Puan ada terima bantuan itu?
Manisah: Alhamdulillah, ada.
Muhammad Saifuddin: Dalam bentuk apa?
Manisah: Cek.
Manisah berkata beliau menerima satu cek berjumlah
RM13,800 yang dimasukkan ke dalam akaun banknya dan hanya digunakan pada
permulaan semester untuk pembayaran yuran kedua-dua anak lelakinya yang kini
berusia 27 dan 23 tahun.
Terdahulu, Manisah berkata jawatan terakhir arwah
suaminya adalah sebagai Pegawai Liasion di Boustead Holdings yang ditempatkan
di Pejabat Perdana Menteri semasa Najib memegang jawatan Timbalan Perdana
Menteri.
Saksi itu berkata, arwah pernah bekerja sebagai
Setiausaha Sulit Najib ketika beliau memegang jawatan Menteri Pendidikan.
Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri
Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, Manisah mengesahkan ada menerima
cek berjumlah RM9,360 pada 2013, RM29,520 pada 2014 dan RM13,800 pada 2015.
"Saya menerima ketiga-tiga cek itu melalui
rakan sekerja arwah suami saya iaitu 'En. Khairul'," katanya.
Ditanya Muhammad Shafee bertanya sama ada beliau
menerima bantuan lain pada 2016, saksi pendakwaan ke-12 itu berkata
"tidak".
Muhammad Shafee: Selepas suami Puan meninggal
dunia, Datuk Seri Najib ada membuat aku janji kalau ada apa-apa terjadi pada
arwah, Najib akan bertanggung jawab kepada pendidikan anak Puan?
Manisah: Setahu saya tidak ada akur janji, tetapi
Datuk Seri tetap memegang janjinya dan tetap bantu biayai pendidikan dua anak
saya.
Muhammad Shafee: Setuju bahawa Datuk Seri Najib
mengambil berat tentang pendidikan anak-anak Puan?
Manisah: Setuju
Ditanya mengenai pendidikan kedua-dua anak
lelakinya, Manisah berkata anak sulungnya yang kini berumur 27 tahun dan yang
bongsu 23 tahun itu masih lagi menuntut di universiti kerana masalah kesihatan.
“Anak bongsu kami mempunyai masalah buah pinggang,
patut sudah habis belajar, tetapi ada semeter yang ‘defer’ jadi masih lagi
‘drag’, kami sebenarnya nak buat ‘transplant’ (pemindahan) buah pinggang abang
kepada adiknya. Oleh sebab itu pelajaran kedua-dua anak saya banyak
tertangguh,” katanya.
Kepada soalan Muhammad Shafee adakah beliau ada memberitahu
Najib mengenai keadaan anaknya yang masih belum menamatkan pelajaran, saksi itu
berkata tidak kerana beliau tidak pernah berhubung dengan Najib mengenai
perkara itu tetapi melalui “En Khairul”.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd
Ghazali bersambung jam 12 tengah hari esok.
Ini kerana esok pagi Mahkamah Rayuan dijadualkan
mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak
permohonannya untuk mengetepikan Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan
pendakwaan dalam kes Najib yang didakwa atas 25 pertuduhan membabitkan dana
1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.282 billion.
- Bernama


